Khamis, 24 Januari 2019 | 9:41pm
PEMAIN Terengganu Ladies Hockey Team (TLHT) meraikan jaringan ketiga pada perlawanan Liga Hoki Malaysia TNB-MHL (Wanita) menentang PKS UNITEN di Stadium Hoki Batu Buruk. - NSTP/Ghazali Kori
PEMAIN Terengganu Ladies Hockey Team (TLHT) meraikan jaringan ketiga pada perlawanan Liga Hoki Malaysia TNB-MHL (Wanita) menentang PKS UNITEN di Stadium Hoki Batu Buruk. - NSTP/Ghazali Kori

TLHT cemas sebelum atasi PKS-Uniten

KUALA TERENGGANU: Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) bangkit daripada ketinggalan sebelum meneruskan rentak kemenangan dengan menumbangkan juara bertahan, PKS-Uniten 3-2 pada aksi keenam Liga Hoki Wanita Malaysia (MWHL) di Stadium Batu Burok, Kuala Terengganu, sebentar tadi.

Terdahulu skuad bimbingan Iman Gobinathan bermula garang apabila mendahului menerusi pakar pukulan sudut penalti dari India, Jaspreet Kaur pada minit ke-14.

Bagaimanapun seminit kemudian penjaring terbanyak musim lalu yang juga tonggak kebangsaan, Hanis Nadiah Onn berjaya memadam kelebihan TLHT itu selepas menyamakan kedudukan menerusi gol padang.

Juara bertahan itu terus mempamerkan belang apabila mendahului tuan rumah 2-1 menerusi gol padang pemain import dari Indonesia, Syasya Rifqah Sanip pada minit ke-28.

Tersentak dengan jaringan itu juara berganda 2017 menggandakan asakan untuk memburu jaringan penyamaan namun dua percubaan daripada Jaspreet dan Auni Athika Ghani pada minit ke-42 dan 43 gagal selepas tangkas dinafikan penjaga gol PKS-Uniten, Mas Huzaimah Md Aziz.

PEMAIN Terengganu Ladies Hockey Team (TLHT), Domashneva Vera (tengah) cubaan menjaringkan gol sambil dihalang penjaga gol PKS UNITEN, Mas Huzaimah Md Aziz (kiri) pada perlawanan Liga Hoki Malaysia TNB-MHL (Wanita) di Stadium Hoki Batu Buruk. - NSTP/Ghazali Kori

Semangat tidak putus asa yang ditampilkan pendahulu liga itu akhirnya membuahkan hasil apabila pemain kebangsaan, Nur Syafiqah Mohd Zain bijak menyambut hantaran untuk menjadikan kedudukan 2-2 pada minit ke-49.

Pada minit ke-53, TLHT mendapat pukulan sudut penalti dan berjaya disempurnakan Jaspreet sekali gus kemenangan keenam berturut-turut. Sementara itu, jurulatih TLHT, Iman Gobinathan mengakui skuad kendaliannya bernasib baik berjaya menumpaskan PKS-Uniten kerana juara bertahan tersebut bermain lebih baik.

"Bagaimanapun saya bangga anak buah saya mampu menyerap tekanan dan berjaya mencapai enam kemenangan bersih pada pusingan pertama ini," katanya.

Berita Harian X