Selasa, 29 Januari 2019 | 12:09am
SETIAUSAHA Kehormat Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM), Zainon Md Noh. - Foto NSTP

Tracey galas tugas misi pertahan emas

KUALA LUMPUR: Mahu mempertahankan pingat emas dimenangi pada Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur, skuad bola jaring kebangsaan mula menjalani latihan bagi persiapan temasya hujung tahun ini di Filipina di bawah sentuhan jurulatih sama dua tahun lalu, Tracey Robinson dari Australia.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM), Zainon Md Noh berkata skuad negara mula menjalani latihan bersama Robinson dan juga penolong jurulatih yang baru dilantik, Puah Pei San pada 15 Januari lalu.

"Seperti semua maklum, Tracey membantu kita memenangi emas pada Sukan SEA lalu dan beliau akan melatih skuad kita selama dua minggu setiap bulan dan hanya akan bersama secara sepenuh masa mulai Jun ini.

"Pei San pula bukan nama asing kerana beliau sebahagian daripada skuad emas dua tahun lalu dan kami berikan kepercayaan kepada beliau kerana kami mahu ramaikan lagi jurulatih muda," katanya di sini hari ini.

Zainon berkata Pei San juga mempunyai kelebihan apabila dia mengenali pemain dengan sembilan daripada 25 pemain dipanggil pada kem latihan pusat adalah rakan sepasukannya dua tahun lalu. 

Katanya, Kejohanan Bola Jaring Empat Negara Hong Kong di Hong Kong pada 27 Februari hingga 3 Mac ini bakal menjadi medan ujian pertama skuad negara yang kini berada di ranking 27 dunia untuk mempamerkan kekuatan. 

"Di kejohanan jemputan yang turut menawarkan ranking dunia itu selain Malaysia, Hong Kong, Gibraltar dan Thailand akan turut serta," katanya.

Berita Harian X