Isnin, 4 Februari 2019 | 9:33pm
Pemain TLHT, Irene Hussin (dua dari kanan) cuba menghalang pemain PKS Uniten pada LHMW 2019 di Stadium Hoki Tun Razak. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon
Pemain TLHT, Irene Hussin (dua dari kanan) cuba menghalang pemain PKS Uniten pada LHMW 2019 di Stadium Hoki Tun Razak. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Hajat juara TLHT tertangguh

KUALA LUMPUR: Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) terpaksa menangguh hajat untuk menjulang gelaran Liga Hoki Wanita Malaysia (LHWM) 2019 selepas kecundang 2-1 kepada PKS Uniten di Stadium Tun Razak, petang tadi.

Kegagalan untuk mengesahkan kejuaraan lebih awal itu juga berpunca daripada kemenangan 1-0 pencabar terdekat Blue Warriors ke atas Liaoning Space Infinite hasil jaringan tunggal Nuramirah Syakirah untuk menyaksikan mereka terus dipisahkan tiga mata dengan TLHT yang kini unggul di persada dengan 27 mata.

Bagaimanapun, skuad bimbingan Iman Gobinathan sudah boleh dianggap sebelah kaki memenangi liga apatah lagi mereka masih kekurangan satu aksi berbanding Blue Warriors selain dilihat tidak berdepan masalah mengatasi KL Wipers dalam aksi kedua terakhir liga Khamis ini.

Bagi Iman, kekalahan sulung TLHT dalam kempen liga musim ini pastinya sukar diterima selepas anak buahnya yang diperkuatkan kehadiran lima import mensia-siakan deretan peluang sepanjang perlawanan.

"Selepas mencatat kemenangan dalam semua perlawanan, pastinya semua pasukan berhasrat menewaskan kami dan hari ini akhirnya kami tewas dalam aksi kesepuluh,” kata Iman.

"PKS Uniten turun dengan pasukan terkuatnya dan memberikan kami tentangan sengit sepanjang perlawanan, namun membezakan keputusan perlawanan ini adalah mereka memanfaatkan dua daripada tiga pukulan sudut penalti diperolehi berbanding kami yang gagal dalam tiga pukulan sama.

"Memang pemain saya beraksi baik tetapi selain daripada itu mereka banyak melepaskan setiap peluang terhidang dan perlu perbaikinya menjelang aksi bertemu KL Wipers."

Dalam aksi di Stadium Tun Razak itu, PKS Uniten dipaksa bertahan sejak dari awal selepas terlebih dulu mengejutkan peneraju liga itu dengan gol pukulan sudut penalti yang dihasilkan pertahanan negara, Nuraini Rashid seawal minit kedua.

Namun, tidak banyak percubaan berbahaya dilakukan TLHT tatkala serangan yang digerakkan pemainnya Wan Norfaiezah Saiuti dan tonggak import dari India, Jaswinder Kaur sering dipatahkan barisan pertahanan skuad kendalian Lailin Abu Hassan.

Juara liga 2017 itu terpaksa menunggu hingga minit ke-23 untuk menyamakan kedudukan hasil percubaan 'reverse stick' Jaswinder yang bijak menampan kemas bola hantaran silang dalam kawasan D rakan sepasukannya.

Bagaimanapun, Nuraini terus membuktikan statusnya antara pakar pukulan sudut penalti terbaik di Asia apabila sekali lagi menyumbat gol dalam percubaan ketiganya ketika permainan berbaki empat minit untuk terus menyalakan peluang PKS Uniten meraih posisi naib juara liga.

Dalam satu lagi aksi, KL Wipers membelasah PSHA-MSSPP 3-0 sekali gus menyaksikan skuad dari Lembah Klang itu mengelak daripada mengakhiri kempen liga di tangga tercorot.

Berita Harian X