Khamis, 7 Februari 2019 | 7:24pm

Latihan lebih keras untuk Dik Wan 

SEPANG: Jurulatih Mohd Ridzuan Puzi, R Jaganathan sedia memperkenalkan regim latihan yang lebih ketat dalam misi membantu anak didiknya itu mempertahankan pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Menjelaskan perancangannya lebih lanjut, Jaganathan berkata, ia termasuklah hanya berehat dua hari untuk sambutan Aidilfitri selain menjalani latihan semasa bulan puasa.

Katanya, atlet cerebral palsy seperti Ridzuan memerlukan latihan yang berbeza berbanding atlet lain terutamanya faktor umur dirinya yang sudah berusia 32 tahun.

"Bagi kategorinya, pergerakannya akan semakin perlahan  kerana faktor umur. Jadi latihan akan ditingkatkan terutamanya dalam perkara membabitkan otot bagi memastikan matlamat mempertahankan emas di Sukan Paralimpik tercapai," tambahnya.

Dia berkata demikian selepas menyambut ketibaan Ridzuan dari Dubai selepas dinobatkan Atlet Para (Lelaki) Terbaik Asia 2018, kelmarin.

Pengiktirafan itu susulan pencapaian cemerlangnya di Sukan Para Asia Jakarta tahun lalu apabila meraih tiga pingat emas selain satu rekod dunia dan kejohanan selepas gagal di Kejohanan Olahraga Dunia IPC 2017.

Lebih manis dia menumbangkan atlet China, Yang Yifie dalam acara 100 meter T36, atlet sama menewaskannya di London.

"Selepas kecundang di London, dia tidak rehat dengan misi menebusnya di Jakarta, ternyata ia berhasil. Kini perjalanan kami adalah mempertahankan emas di Tokyo," tambah Jaganathan.

Sementara itu, Ridzuan atau lebih dikenali sebagai Dik Wan menegaskan sedia menyerahkan seluruh jiwa dan raganya demi mempertahankan emas di Tokyo 2020.

"Saya akui tidak boleh berehat panjang. Jadi, saya perlu sedia dan sanggup mengharungi apa juga rancangan jurulatih demi pertahan emas yang diraih pada Sukan Paralimpik Rio," katanya.

Sementara itu Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) Majlis Sukan Negara, Suhardi Alias berkata, pihaknya sedia mempertimbangkan ganjaran wang tunai kepada Ridzuan susulan anugerah diraihnya.

Ridzuan Puzi (tengah) ketika menunjukkan trofi dan sijil anugerah Atlet Para Lelaki Terbaik Asia 2019 kepada R Jaganathan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Berita Harian X