Khamis, 21 Februari 2019 | 9:24pm
Penjaga gol negara, Farah Ayuni (tengah) bersama rakan sepasukan East Grinstead semasa beraksi dalam pusingan pertama Liga Perdana England.

East Grinstead tagih sentuhan Farah Ayuni

KUALA LUMPUR: Penjaga gol hoki nombor satu negara, Farah Ayuni Yahya berdepan tempoh 48 jam yang paling memenatkan dalam kariernya apabila perlu bergegas ke West Sussex, England bagi 'menghidupkan' semula peluang East Grinstead memburu penamat tiga terbaik Liga Perdana England.

East Grinstead yang tewas dalam dua perlawanan terakhir, kini tiada pilihan selain perlu bangkit bagi aksi ke-13 berdepan Buckingham, Sabtu ini.

Mereka dilihat bergelut sepanjang ketiadaan Farah, 30, termasuk jatuh satu anak tangga ke tempat keempat sejurus liga kembali bersambung pada awal bulan ini.

"Memang teruja untuk kembali ke sana," kata Farah ketika dihubungi sebelum bertolak ke England daripada KLIA hari ini.

Bagaimanapun, penjaga gol terbaik Trofi Juara-Juara Asia 2016 dan 2018 itu mungkin tidak sempat mendapat rehat secukupnya kerana dijadual tiba di England kurang 24 jam sebelum turun berdepan Buckingham.

"Saya tidak sempat menjalani latihan dan mungkin terus diturunkan... Tetapi ia bukan masalah besar jika terpaksa beraksi dalam kepenatan.

"Apa yang penting harapan saya untuk kembali beraksi pada pusingan kedua liga menjadi kenyataan," kata Farah.

Dia terpaksa bertolak lewat ke England susulan komitmen bersama pasukan majikannya PDRM-Blue Warriors dalam saingan Liga Hoki Wanita Malaysia 2019 yang menutup tirainya Sabtu lalu.

Khidmat Farah yang mendapat jolokan nama 'Ninja' di kalangan rakan sepasukan Grinstead kembali ditagih selepas menampilkan persembahan memberangsangkan dalam sembilan daripada 10 perlawanan pertama Liga Perdana England.

Ketangkasannya itu turut memastikan East Grinstead mencatat tujuh kemenangan, sebelum tewas kepada Surbiton 3-1 (16 Februari) dan peneraju Holcombe 2-1 (9 Februari).

Berita Harian X