Ahad, 24 Februari 2019 | 10:11pm
Penjaga gol hoki negara, Farah Ayuni Yahya. - Arkib NSTP

Farah Ayuni ceriakan kelab hoki East Grinstead

KUALA LUMPUR: Penjaga gol hoki negara, Farah Ayuni Yahya menepati statusnya selaku 'pakar penyelamat pukulan strok' apabila ketangkasannya menepis pukulan itu memastikan Kelab Hoki East Grinstead kembali meraih kemenangan aksi Liga Perdana England.

Dia menyelamatkan pukulan strok Lauren Thomas pada minit ke-41 ketika East Grinstead menewaskan Buckingham 2-0 semalam sekali gus membantu skuad kendalian Mary Booth melonjak satu anak tangga ke kedudukan ketiga.

Bukan itu saja, malah anak jati Johor Bahru itu juga menafikan deretan percubaan berbahaya padang selain tujuh pukulan sudut penalti yang diperolehi Buckingham sepanjang 70 minit perlawanan.

Aksi cemerlang Farah, 30, pantas mendapat pujian pengendali East Grinstead, Booth yang menyifatkan ia sesuatu yang menakjubkan untuk melihat semula ketangkasan 'ninja kami'.

"Dia memastikan kami kekal dalam perlawanan dan meningkatkan keyakinan rakan sepasukannya. Dia menyelamatkan penalti strok (ketika East Grinstead mendahului 1-0) selain menepis beberapa pukulan sudut penalti.

"Dia juga bijak memilih waktu yang sesuai untuk keluar jauh daripada gawang atau tidak. Hal ini mungkin dibantu faktor pengalaman luasnya yang sudah sekian lama beraksi untuk negaranya," kata Booth.

Sebelum ketibaan Farah di West Sussex, England kelmarin, East Grinstead mengalami dua kekalahan berturut-turut masing-masing kepada Surbiton 3-1 dan peneraju Holcombe 2-1.

Ia meninggalkan Booth tanpa pilihan selain menurunkan penjaga gol terbaik Trofi Juara-Juara Asia 2018 dan 2016 itu bagi mengatasi masalah kebocoran gol pasukannya biarpun Farah masih kepenatan menempuh penerbangan jauh dari Malaysia.

"Pagi semalam dia bangun tidur awal dan tetap melakukan sesi regangan pagi sebelum perlawanan walaupun tampah letih selepas menempuh perjalanan jauh untuk membuktikan sikap profesionalnya.

"Jurulatihnya di Malaysia berjaya membentuknya dengan baik dan kami berharap dapat mencuri sebanyak mungkin ilmu daripadanya sepanjang dia di East Grinstead dan kami gembira untuk mendapat semula sentuhannya."

East Grinstead yang memperoleh jaringan hasil sumbangan Sophie Bray pada minit ke-21 dan Rosario Villagra (m-50) semalam, seterusnya dijadualkan berdepan pasukan tangga keenam liga Beeston dalam aksi ke-14 liga Sabtu.

Berita Harian X