Selasa, 26 Februari 2019 | 7:02pm
Ahli Lembaga Pengarah YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed (kiri) menyampaikan cek kepada anak bekas pemain ragbi kebangsaan (Allahyarham Fadhullah Lim Abdullah), Balqis Fadhullah (kanan) sambil diperhatikan balu Allahyarham, Rubi Osman (tengah) pada majlis penyerahan sumbangan khairat kematian skim bantuan khas ahli Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) di Taman Melati. - Foto Rosdan Wahid

YAKEB giat bantu ahli yang memerlukan

 

KUALA LUMPUR: Isu kekurangan dana membelenggu Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) selesai selepas yayasan itu menerima RM3 juta daripada kerajaan sekali gus meringankan beban dalam usaha menyalurkan bantuan kepada bekas atlet yang memerlukan. 

Ahli Lembaga Pengarah YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, dana diterima itu sudah pasti akan disalurkan kepada ahli yang memerlukan. 

"Pada mulanya kami merintih, menangis untuk mendapatkan dana daripada kerajaan. Sekarang, sudah menerima dana berkenaan dan kami berasa gembira. 

"Alhamdulillah bagi pihak bekas atlet, kami dapat teruskan perjuangan ini untuk membantu mereka," kata Noorul Ariffin selepas menziarahi dan memberi sumbangan khairat kematian (skim bantuan khas - ahli YAKEB meninggal dunia) kepada anak bekas pemain ragbi kebangsaan yang pernah beraksi di Sukan Asia 1978, Allahyarham Fadhullah Lim Abdullah, Balqis sebanyak RM5,000, hari ini. 

"Ini adalah program pertama selepas kami menerima dana daripada kerajaan. Kami akan mula menziarahi dan membantu bekas atlet yang masih tidak menerimanya dan kami akan meneruskan usaha ini," kata Noorul Ariffin. 

Mengulas mengenai kekosongan jawatan pengerusi YAKEB ketika ini, Noorul Ariffin berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk menyelesaikannya.

"Terpulang kepada menteri untuk membuat keputusan. Sebenarnya, kami nak serta-merta kerana dia (pengerusi) akan menerajui kepimpinan ini. 

"Tanpa pengerusi, nak buat keputusan susah sedikit, walaupun kami mempunyai lembaga pengarah tetapi pengerusilah yang akan membuat keputusan muktamad dan juga hala tuju YAKEB selepas ini," katanya yang juga antara calon bagi jawatan berkenaan. 

Kerusi bagi jawatan pengerusi YAKEB kosong selepas bekas pemain skuasy kebangsaan, Azlan Iskandar meletak jawatan, Oktober lalu.

Berita Harian X