Rabu, 27 Februari 2019 | 7:12pm
GAMBAR fail, Jurulatih Sukan Terjun, Christian Brooker. - Foto Saddam Yusoff

Gandingan senior, pelapis ke Sagamihara

 

KUALA LUMPUR: Skuad terjun negara mempertaruhkan gandingan senior dan pelapis pada Siri Dunia Terjun FINA 2019 dengan kejohanan siri pertama akan berlangsung buat kali pertama di Sagamihara, Jepun Jumaat ini.

Jurulatih negara, Christian Brooker berkata, dua penerjun senior - Cheong Jun Hoong dan Wendy Ng tidak diturunkan bagi memberi peluang sepenuhnya kepada mereka menjalani pemulihan daripada kecederaan selain memberi peluang kepada pelapis mengisi kekosongan itu.

“Kimberly (Bong) menggantikan tempat Wendy dalam acara 3 meter papan anjal seirama wanita, sementara Nur Dhabitah (Sabri) menggantikan Cheong Jun Hoong dalam acara 10m seirama wanita.

"Jun Hoong dan Wendy masih menjalani proses rehabilitasi susulan pembedahan sebelum ini. Kedua-duanya melalui perkembangan baik dan kita jangkakan mereka kembali dalam tahun ini juga," katanya yang berlepas ke Jepun bersama skuad negara hari ini.

Brooker yang berasal dari Australia berkata, masih terlalu awal untuk menilai prestasi penerjun negara memandangkan ini adalah kejohanan pertama tahun ini selepas Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang.

"Biarpun mendapat pingat adalah sesuatu yang hebat tetapi ini bukanlah sasaran kita. Setiap penerjun di dalam kejohanan ini berada di peringkat berlainan dan dalam persediaan ke Kejohanan Dunia (di Gwangju, Korea Selatan Julai ini).

"Berbeza dengan penerjun dari Britain misalnya yang baru menamatkan kejohanan kebangsaan dan sudah berada di puncak prestasi program mereka," katanya.

Siri Dunia Terjun akan diadakan selama tiga hari bermula Jumaat ini di Sagamihara diikuti di Beijing, China (7-9 Mac), Montreal, Kanada (26-28 April), Kazan, Russia (10-12 Mei) dan berakhir di London, Britain pada 17-19 Mei ini.

"Saya mengharapkan penerjun melakukan yang terbaik memandangkan kebanyakan mereka masih baru dengan cara saya melatih dan perlukan masa membiasakan diri dalam kejohanan daripada sesi latihan yang kami usaha bersama. 

“Selepas itu barulah kami boleh bersedia dengan lebih baik pada Kejohanan Dunia nanti," katanya.

 

Senarai penerjun negara pada Siri Dunia Terjun di Sagamihara, Jepun

10m seirama campuran: Leong Mun Yee & Hanis Nazirul Jaya Surya 

3m sirama campuran: Muhammad Syafiq Puteh & Nur Dhabitah Sabri

10m wanita individu: Pandelela Rinong

10m wanita seirama: Pandelela & Nur Dhabitah Sabri

3m seirama wanita: Nur Dhabitah Sabri dan Kimberly Bong

 

 

Berita Harian X