Sabtu, 2 March 2019 | 2:13pm
PENERJUN negara, Pandelela Rinong Pamg. - Foto Aizuddin Saad

Pandelela terlepas tiket final

KUALA LUMPUR: Kesilapan pada terjunan terakhir menyebabkan penerjun negara, Pandelela Rinong Pamg sekadar menghuni kedudukan empat pusingan separuh akhir sekali gus terlepas tiket ke final acara 10 meter platform individu wanita pada Siri Dunia Terjun FINA di Sagamihara, Jepun.

Dengan persembahan terbaiknya dalam acara individu adalah menghuni tempat kedua keseluruhan pada Siri Dunia Terjun 2014, Pandelela masih menghuni kedudukan kedua selepas terjunan keempat dan menambah 65.60 mata pada terjunan kelima.

Ia menyebabkan dua penerjun Kanada memintasnya lalu Pandelela jatuh ke kedudukan keempat.

Pandelela mengumpul keseluruhan 349.85 mata, hanya dibezakan 0.4 mata di belakang Caeli McKay dari Kanada yang menduduki tempat ketiga.

Penerjun China, Zhang Jiaqi mendahului pusingan separuh akhir 2 dengan 395.30 mata diikuti penerjun Kanada, Meagan Benfeito di tempat kedua (350.70 mata).

Pada satu lagi aksi separuh akhir menyaksikan penerjun Korea Utara, Kim Mi Rae, Arai Matsuri (Jepun) dan Ren Qian (China) masing-masing menduduki tiga tempat teratas untuk melayakkan diri ke final pada petang ini.

Sementara itu, gandingan Leong Mun Yee dan Hanis Nazirul Jaya Surya akan turun dalam acara 10m platform seirama campuran yang akan berlangsung petang ini.

570 dibaca
Berita Harian X