Ahad, 3 March 2019 | 7:43pm
WAKIL tunggal negara Nur Dhabitah Sabri -Muhammad Syafiq Puteh yang menyertai acara 3 meter (m) papan anjal seirama campuran mengakhiri saingan di tempat ketujuh. - Foto NSTP

Skuad terjun negara pulang hampa

KUALA LUMPUR: Skuad terjun negara menamatkan aksi di Siri Dunia Terjun FINA 2019 di Sagamihara, Jepun yang menutup tirainya, hari ini dengan tangan kosong selepas gagal meraih sebarang pingat.

Ia berikutan wakil tunggal negara Nur Dhabitah Sabri-Muhammad Syafiq Puteh yang menyertai acara 3 meter (m) papan anjal seirama campuran mengakhiri saingan di tempat ketujuh.

Gandingan Dhabitah-Syafiq berjaya menghuni kedudukan keempat sehinggalah terjunan keempat namun kesilapan pada terjunan kelima yang juga terakhir menyebabkan mereka jatuh ke kedudukan ketujuh dengan mengumpul keseluruhan 304.80 mata.

Penerjun China masih mendominasi dengan Chang Yani-Yang Hao membawa pulang pingat emas dengan 330.63 mata diikuti gandingan dari Kanada, Francois Imbeau Dulac-Jennifer Abel berada di tempat kedua (327.93 mata).

Skuad terjun negara menurunkan gandingan penerjun senior dan pelapis pada kejohanan pertama tahun ini itu selepas dua penerjun berpengalaman, Cheong Jun Hoong dan Wandy Ng tidak turut serta berikutan masih menjalani pemulihan daripada kecederaan.

Pencapaian terbaik skuad negara di Jepun adalah menerusi gandingan Pandelela Rinong dan Dhabitah pada Jumaat lalu apabila mereka menduduki tempat keempat dalam acara 10m platform seirama wanita.

 

 

Berita Harian X