Selasa, 5 March 2019 | 1:01pm
KETUA Jurulatih Skuad Hoki Wanita, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah. - Foto Zunnur Al Shafiq.

Hoki wanita mula dapat perhatian

 

KUALA LUMPUR: Dhaarma Raj Abdullah menganggap kesediaan pasukan nombor sembilan dunia, India kembali ke sini bagi menjalani lima siri perlawanan persahabatan dengan skuad hoki wanita kebangsaan April depan sebagai situasi 'luar biasa'.

Menurut ketua jurulatih Malaysian Tigress itu, dia gembira dengan kesanggupan juara Piala Asia 2017 itu kerana melihatnya sebagai satu pengiktirafan buat skuad negara yang kini tidak lagi dipandang sebelah mata.

"Untuk Jelajah Korea Selatan, mungkin kita sudah kesuntukan masa ke sana kerana sehingga kini masih belum menerima jawapan balas mereka.

"Jadi apabila Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mengesahkan India akan datang ke sini untuk menentang kita, sekurang-kurangnya kita sudah mempunyai lima aksi persahabatan.

"Ia situasi yang luar biasa kerana India sanggup datang ke Kuala Lumpur di bawah tanggungan sendiri dan ia satu petanda bagus untuk kita," katanya.

Sebelum ini, Dhaarma, 50, pernah mendedahkan pihaknya begitu berharap Jelajah Korea Selatan menjadi kenyataan sebagai persiapan awal menghadapi kempen Pusingan Akhir Siri FIH di Dublin Jun depan.

Bagaimanapun, Subahan dalam sidang media selepas mesyuarat Lembaga Eksekutif MHC, Sabtu lalu mengesahkan India yang juga dalam persiapan ke kejohanan sama bersetuju menjalani lima aksi pemanas badan berdepan Malaysian Tigress.

Malah, Subahan turut menjelaskan Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil yang sebelum ini menjalani kerja pengubahsuaian sedia digunakan sempena lima aksi berkenaan dari 4 hingga 11 April depan.

Pasukan di ranking ke-22 dunia itu seterusnya akan menghadapi empat perlawanan ujian di Eropah, masing-masing berdepan Sepanyol dan Itali sebelum dijadualkan bertemu Scotland sementara menunggu aksi di Dublin menyingkap tirainya pada 8 Jun depan.

 

 

Berita Harian X