Rabu, 6 March 2019 | 9:40pm
Skuad bola jaring negara dijangka dapat membaiki kedudukan ranking dunia. - Arkib NSTP

Ranking skuad bola jaring negara dijangka naik

KUALA LUMPUR: Skuad bola jaring negara dijangka dapat membaiki kedudukan ranking dunia selepas berjaya menjuarai Kejohanan Bola Jaring Empat Negara 2019 di Hong Kong, pada minggu lalu.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM), Zainon Md Noh berkata beliau menjangkakan skuad negara bakal berada pada kedudukan lebih baik berbanding ketika ini iaitu ke-27.

"Kejohanan Empat Negara itu menawarkan mata ranking dan pastinya kita akan terus mendahului Hong Kong yang ketika ini pada kedudukan ranking ke-28," katanya kepada Sukan BH di sini hari ini.

Zainon berkata kejayaan skuad negara yang dibimbing Tracey Robinson itu adalah petanda baik buat skuad negara yang dalam misi mempertahankan pingat emas di Sukan SEA di Filipina pada Disember ini.

Skuad kebangsaan juga akan menyertai Jelajah Sri Lanka yang akan diadakan pada 8-12 April ini dengan skuad kebangsaan Sri Lanka yang berada di ranking ke-19 dunia dan skuad bawah 21 tahun Sri Lanka bakal bersaing.

"Buat masa ini kita masih belum mendapat kepastian negara lain yang akan truut serta namun kejohanan ini baik untuk pendedahan bagi pemain biarpun tiada mata ranking ditawarkan.

"Penganjur sebelum ini mengatakan mereka sedang mencuba mendapatkan Uganda (ranking ke-7 dunia) untuk turut serta namun masih belum memaklumkan kepada kita," katanya.

Berita Harian X