Rabu, 6 March 2019 | 10:03pm
Nur Dhabitah Sabri (kiri) dan Muhammad Syafiq Puteh. - Arkib NSTP

Gandingan Dhabitah-Syafiq beri harapan pada negara

KUALA LUMPUR: Gandingan Nur Dhabitah Sabri-Muhammad Syafiq Puteh dalam acara 3 meter (m) papan anjal seirama campuran kini dilihat antara prospek yang mampu merangkul pingat pada Kejohanan Terjun Dunia FINA 2019 di Gwangju, Korea Selatan, Julai ini.

Ia hadir selepas mereka berjaya mencipta rekod kebangsaan pada saingan Siri Dunia Terjun FINA 2019 di Sagamihara, Jepun dengan catatan 304.80 mata secara keseluruhan.

Walaupun menamatkan saingan di tempat ketujuh, namun ia lebih baik berbanding rekod kebangsaan milik mereka iaitu 295.80 mata yang dicatatkan pada Kejohanan Terjun Piala Dunia di Wuhan China, pada Jun tahun lalu.

Dan lebih meyakinkan apabila gandingan atlet kebangsaan ini hanya membuat persiapan singkat tanpa jurulatih Zhang Yukun.

"Ini petanda baik dan menunjukkan pasukan ini bertambah baik. Selalunya rekod kebangsaan ini dicipta pada kejohanan utama ketika atlet berada di prestasi kemuncak. Tetapi kali ini ia dicipta di kejohanan kecil dengan persiapan yang singkat.

“Jadi saya ingin lihat gandingan ini merebut pingat pada Kejohanan Dunia FINA 2019 di Gwangju, Korea Selatan," kata jurulatih negara, Christian Brooker kepada Sukan BH.

Mengulas lanjut, Brooker berpendapat Dhabitah-Syafiq bakal berdepan saingan hebat dari China, Australia, Kanada, Great Britain, Russia dan Jerman pada kejohanan itu nanti.

Beliau mahu gandingan ini berusaha menamatkan keseluruhan terjunan kira-kira 330 mata untuk mengejar kedudukan pingat.

Mengulas mengenai Siri Dunia Terjun FINA 2019 di Beijing, China, esok , Brooker berkata pasukan negara mempertaruhkan penerjun sama seperti Siri Dunia Terjun FINA di Jepun.

Katanya, matlamatnya sama iaitu sebagai proses pembelajaran untuk mengetahui apa yang perlu diperbaiki selain mempersiapkan pasukan negara untuk menghadapi Kejohanan Dunia.

Pencapaian terbaik skuad negara di Jepun adalah menerusi gandingan Pandelela Rinong dan Dhabitah apabila mereka menduduki tempat keempat dalam acara 10m platform seirama wanita.

Berita Harian X