Khamis, 7 March 2019 | 11:34pm
KIMBERLY Bong (kiri) dan Nur Dhabitah Sabri. - Foto NSTP

Kimberly-Dhabitah kelima di Beijing

KUALA LUMPUR: Gandingan Kimberly Bong-Nur Dhabitah Sabri terpaksa berpuas hati di kedudukan kelima dalam acara 3 meter (m) papan anjal seirama wanita akhir pada aksi Siri Dunia Terjun FINA 2019 yang berlangsung di Beijing, China hari ini.

Kimberly-Dhabitah melengkapkan lima terjunan dengan mata keseluruhan 268.26. Bagaimanapun catatan yang direkodkan itu lebih baik berbanding siri pertama di Sagamihara, Jepun, minggu lalu, di mana mereka mengutip 265.50 mata.

Emas acara ini menjadi milik pasangan China Shi Tingmao-Wang Han dengan 339.30 mata. Sementara pingat perak diraih pasangan Australia, Maddison Keeney-Anabelle Smith (300.93) manakala Grace Reid-Katherine Torrance (292.47) dari Great Britain, gangsa.

Terdahulu pada aksi di sebelah pagi, Dhabitah-Pandelela Rinong berjaya menamatkan saingan acara 10m platform seirama wanita akhir di tempat keempat.

Jurulatih negara, Christian Brooker berbangga dengan gandingan muda Kimberly-Dhabitah kerana mampu memberikan saingan di kejohanan berskala tinggi.

"Kimberly-Dhabitah mampu beraksi dengan tenang dan menampilkan terjunan yang konsisten. Mereka masih muda dan kurang berpengalaman tetapi perjalanan masih jauh dan mampu memantangkan mereka," kata Brooker, ketika dihubungi.

Sementara itu ketika mengulas pencapaian Dhabitah-Pandelela pagi tadi, Brooker berkata, persembahan pasangan itu adalah lebih baik berbanding minggu lalu di Jepun.

Katanya meskipun menjalani latihan dalam tempoh yang agak singkat, penerjun negara mampu mempamerkan aksi kelas dunia.

Berita Harian X