Jumaat, 22 March 2019 | 12:57am
SEBAHAGIAN ahli YAKEB dan PRESMA bergambar ketika Majlis Pra Pelancaran Kempen ‘Tabung YAKEB for X-Athlete’ (TabungX), hari ini.

TabungX YAKEB mulai raih sokongan

KUALA LUMPUR: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) memperoleh suntikan semangat apabila inisiatif menerusi Kempen ‘Tabung YAKEB for X-Athlete’ (TabungX) mulai mendapat perhatian.

Terbaharu, usaha yang dibuat oleh badan itu disahut oleh Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) yang mempunyai lebih 4,000 ahli di seluruh negara. 

Majlis Pra Pelancaran kempen itu disempurnakan secara bersama oleh Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed dan Presiden PRESMA, Ayoob Khan Muhamad Yakub di sebuah restoran terkemuka di ibu negara, hari ini.

“Melalui dana yang terkumpul ini nanti, ia akan digunakan untuk membantu membiayai rawatan perubatan dan 12 lagi skim bantuan yang termasuk di bawah Skim Bantuan Khas YAKEB,” kata Noorul. 

“Secara tidak langsung, inisiatif ini akan dapat membantu mengurangkan kebergantungan YAKEB kepada pihak Kerajaan.”

Objektif utama pelaksanaan kempen ini adalah untuk memastikan Skim Bantuan Khas YAKEB iaitu faedah yang diberikan kepada bekas atlet negara yang berdaftar dengan badan itu dapat dikekal dan diteruskan. 

Kempen TabungX adalah platform di mana pelbagai aktiviti yang berkaitan dengan pengumpulan dana akan dilaksanakan menggunakan tabung sebagai salah satu medium atau kaedah yang digunakan untuk membolehkan orang ramai menghulurkan sumbangan.   

Kerjasama di antara YAKEB dan PRESMA ini dilihat sebagai permulaan dengan badan itu berharap akan ada lagi organisasi serta syarikat berkaitan dengan sukan sudi tampil untuk bekerjasama bagi menjayakannya.

Berita Harian X