Sabtu, 23 March 2019 | 9:40pm
RUSSEL Alexander Nasir Taib. - FOTO FB Russel

Russel pecah rekod 200m Khairul Hafiz

KUALA LUMPUR: Khairul Hafiz Jantan perlu rasa terancam apabila atlet berdarah campuran Malaysia - Australia, Russel Alexander Nasir Taib berjaya melebur rekod kebangsaan acara 200 meter (m) lelaki di Kejohanan Trek Klasik Queensland (Queensland Track Classic), hari ini.

Atlet berusia 21 tahun yang dilahirkan di Kuala Lumpur pada tahun 1998 sebelum berhijrah ke Hobart, Australia pada usia tiga tahun itu mencatat 20.77s (+2.0) pada aksi final, sekali gus meraih kedudukan kedua.

Kepantasan dicatat Russel mengatasi rekod kebangsaan 20.90s milik Khairul Hafiz atau dikenali sebagai The Speedy Jantan pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2017 yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Sebelum ini Khairul Hafiz memecahkan rekod lama, 20.92s berusia 49 tahun milik Tan Sri Dr M Jegathesan yang dilakar di Sukan Olimpik Mexico 1968.

Pada Januari lalu, Russel sudah memberikan amaran betapa dia lebih pantas apabila hanya terpisah 0.04s dengan rekod kebangsaan milik The Speedy Jantan (20.90s) selepas merakam 20.94s di Kejohanan Olahraga Shield Series di Pusat Olahraga dan Sukan Queensland, Australia.

Kejayaan pada Januari lalu melayakkan pelari itu beraksi di Kejohanan Olahraga Asia 2019 di Doha, Qatar pada April, Sukan Universiti Dunia 2019 di Naples, Itali (Julai) dan Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina (November).

4018 dibaca
Berita Harian X