Isnin, 25 March 2019 | 8:50pm
PRESIDEN KOM, Datuk Karim Ibrahim. - Foto Nurul Shafina Jemenon

KOM tidak tahu hasrat Poad, Khairul Hafiz

KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sehingga kini tidak menerima sebarang permohanan bertulis daripada pihak Khairul Hafiz Jantan mahupun jurulatih yang menyatakan mereka ingin menjalani latihan dan pertandingan di Amerika Syarikat (AS).

Presiden KOM Datuk Karim Ibrahim menegaskan pihaknya tidak pernah menghalang mana-mana atlet mendapat pendedahan di luar negara, apatah lagi apabila ia mampu membantu meningkatkan prestasi mereka.

"Setakat ini saya tidak terima apa-apa daripada jurulatih (Mohd Poad Md Kassim) ataupun ketua jurulatih (Zainal Abas) berkaitan Khairul Hafiz ingin berlatih di AS,” kata Karim kepada BH Sukan, hari ini.

"Saya juga tidak menerimanya dalam apa jua bentuk termasuklah permohonan secara lisan, khidmat pesanan ringkas (SMS) mahupun bertulis."

Semalam, Poad mengakui yang Khairul Hafiz perlu mendapat pendedahan menjalani latihan dan pertandingan di luar negara bagi mengelakkan nama pelari itu terus hilang dari radar.

Selain itu Poad mengakui dia kecewa dan mendakwa hasratnya membawa Khairul Hafiz ke AS untuk jangka masa panjang, sehingga kini tidak kesampaian.

Ia disebabkan pihaknya tidak mendapat mana-mana penajaan dan seolah-olah diabaikan sejak tahun 2016 lagi, berbanding atlet lain yang sudah memulakan musim ini di pentas antarabangsa.

Mengulas lanjut, Karim menjelaskan jika Poad masih berhasrat dan bertekad ke AS, dia perlu menggunakan saluran yang sedia ada dan KOM sentiasa menyokong hasrat berkenaan.

"Jika ada atlet yang mendapat penajaan, mereka boleh pergi dan kita akan membantu. Bagi yang tidak mendapat tajaan, mereka kena melalui Jawatankuasa Kerja (JKK) terlebih dulu tapi mesti ada di dalam program.

"Mereka perlu melalui ketua jurulatih, selepas itu ia akan dimaklumkan kepada persatuan seterusnya benda ini akan dibawa ke JKK Majlis Sukan Negara (MSN) dan KOM," katanya.

509 dibaca
Berita Harian X