Rabu, 3 April 2019 | 6:40pm
PEMAIN hoki, Siti Zulaikha Hussin ketika sesi latihan skuad hoki wanita negara di Stadium Bukit Jalil menjelang aksi persahabatan dengan India. - Foto Hafiz Sohaimi

Peluang Zulaikha peraga kemampuan

KUALA LUMPUR: Selepas lebih setahun mengikuti kem latihan skuad hoki negara, pemain kecil molek Siti Zulaikha Hussin akhirnya bakal diberi peluang memperagakan sentuhan menjelang lima aksi persahabatan bertemu pasukan nombor satu Asia, India bermula esok.

Penyerang berusia 18 tahun itu sudah lama diserap ke skuad kebangsaan dan menjadi sebutan kerana kemampuan menggeleceknya, namun tidak pernah dibawa ke pentas antarabangsa berikutan komitmen menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun lalu.

"Sebelum ini saya gagal menjalani latihan dengan konsisten kerana SPM tetapi tidak lagi untuk tahun ini saya sertai pasukan sejak Liga Hoki Wanita Malaysia berakhir pada Februari lalu," kata Zulaikha.

"Memang ini tahun terbaik buat saya walaupun masih ada beberapa penyerang lain turut memburu tempat dalam pasukan, saya akan mati-matian cuba memikat jurulatih."

Sebagai rekod, empat lagi aksi persahabatan dengan India adalah pada 6, 8, 10 dan 11 April dengan semua perlawanan berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Perlawanan berkenaan dijadikan sebagai medan persiapan terakhir bagi Ketua Jurulatih skuad hoki wanita negara, Dhaarma Raj Abdullah menguji pemain menjelang Pusingan Final Siri FIH di Ireland pada Jun depan.

Dhaarma dijangka menggilirkan pemain bagi kelima-lima aksi berkenaan selepas hanya 18 pemain boleh diturunkan berbanding 24 pemain yang mengikuti kem latihan negara ketika ini.

Pengendali kelahiran Melaka itu turut mengesahkan dia akan merehatkan tonggak pertahanan, Raja Norsharina Raja Shabuddin dan Fazilla Sylvester Silin (penyerang).

"Untuk perlawanan pertama saya terpaksa rehatkan Raja dan Fazilla bagi memberi peluang kepada Syafiqa Mat Isa dan Zulaikha, mereka ini perlu diberi peluang."

Dalam kes Zulaikha, situasi yang dilaluinya sama seperti pertahanan lelaki negara, Faiz Helmi (Jali) yang mana mereka bersaiz kecil. Dulu Faiz Helmi sukar mendapat tempat, namun dia berusaha keras dan tidak lagi menoleh belakang sejak dipilih oleh Paul Revington.

"Bagi saya Zulaikha ini mempunyai bakat yang istimewa terutama dari aspek kemahiran menggeleceknya dengan dia juga cukup bagus dari segi penyudah sebagai penyerang," kata Dhaarma.

Aksi ini juga tidak kurang penting buat tiga penggempur negara, Norazlin Sumantri, Zafirah Aziz dan Noraslinda Said serta pertahanan Shafiqah Md Zain yang mana kedudukan mereka berada dalam keadaan 'goyang' untuk dibawa ke Ireland.

Berita Harian X