Khamis, 4 April 2019 | 11:25pm
Ketua jurulatih hoki wanita negara, Dhaarma Raj Abdullah (kiri) berkata sesuatu kepada skuad hoki wanita kebangsaan semasa sesi latihan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, semalam. - NSTP/Owee Ah Chun

India hukum aksi lesu Malaysian Tigress

KUALA LUMPUR: Skuad hoki wanita negara tampil dengan aksi kurang meyakinkan ketika tewas 0-3 kepada India dalam aksi persahabatan pertama di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Jelas sekali faktor sudah lama tidak mengharungi perlawanan kompetitif sejak Sukan Asia 2018 pada Ogos tahun lalu mengundang kekalahan itu ketika skuad kendalian Dhaarma Raj Abdullah dilihat bergelut sepanjang 60 minit aksi.

Cuma mereka bernasib baik apabila penjaga gol East Grinstead HC, Farah Ayuni Yahya yang dibawa pulang khas daripada England tangkas menafikan beberapa percubaan berbahaya selain kegagalan penyudah jentera serangan India.

Dalam aksi itu, Malaysian Tigress yang kali pertama menyarung jersi Adidas berwarna oren dilihat tenggelam pada dua suku pertama permainan dengan barisan pertahanan dilihat gagal mengeluarkan bola dengan baik apabila memenangi perebutan bola di kawasan D.

Kegagalan itu menyebabkan bola lebih banyak berlegar di kawasan Malaysia sebelum India memperoleh pukulan sudut penalti pertama pada minit ke-17 dengan Vandana Katariya menyudahkan percubaan susulan rakan sepasukannya untuk meletakkan India di depan.

Lalremsiami menambah gol kedua India lapan minit bersambung suku ketiga sebelum Vandana sekali lagi berjaya menewaskan Farah Ayuni ketika aksi berbaki beberapa saat dengan kedua-dua gol itu dihasilkan menerusi percubaan padang.

Bagaimanapun, masih berbaki empat aksi untuk skuad negara yang menghuni ranking ke-22 dunia cuba mengatasi pasukan kesembilan dunia itu dalam memastikan mendapat bekalan semangat bagi menghadapi Pusingan Final Siri FIH di Dublin, Jun depan.

Mereka seterusnya akan berdepan India bagi aksi kedua daripada lima aksi persahabatan pada Sabtu ini dengan semua perlawanan berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Berita Harian X