Jumaat, 5 April 2019 | 7:22pm
PESILAT negara, Al Jufferi Jamari. - Foto Osman Adnan

Al Jufferi, Siti Rahmah disenarai silat Terbuka Belgium

KUALA LUMPUR: Pesilat negara, Al Jufferi Jamari disenaraikan dalam pasukan kebangsaan bagi menghadapi Terbuka Belgium yang dijadual berlangsung pada 26 hingga 28 April ini.

Selain juara dunia tiga kali itu, turut bersamanya nanti adalah srikandi silat, Siti Rahmah Mohamed Nasir yang pernah menyatakan hasrat untuk bersara selepas temasya Sukan Asia 2018, Ogos lalu.

"Siti Rahmah kembali sebagai atlet, sekarang sedang menjalani latihan," kata Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

"Jufferi pula sedang menjalani fisioterapi selepas mengalami kecederaan. Apapun, mereka ini akan ke Belgium April ini.

"Penyertaan kali ini di Terbuka Belgium agak ramai dan kuat. Indonesia dan Thailand menghantar dua pasukan. Singapura dan Eropah juga hampir kesemuanya mengambil bahagian. Jadi kita boleh lihat prestasi pesilat kita di Terbuka Belgium nanti."

Mengulas lanjut mengenai tahap kecederaan Jufferi, Megat berkata ia adalah lanjutan daripada kecederaan lama namun tidak terlalu bimbang dengan tahap prestasi pesilatnya itu.

"Dia (Jufferi) mengalami otot koyak, kecederaan lama tetapi kita kena akui yang apabila umur semakin meningkat maka kecederaan akan datang.

"Namun dengan mengenali Jufferi, saya tak risau kerana disiplin dan karakternya akan berubah apabila memasuki gelanggang.

"Lagipun, dia mahu mempertahankan kelas E ketika pemilihan (pasukan kebangsaan) nanti dan tidak ada juga tanda-tanda yang mahu bersara," kata Megat.

Berita Harian X