Sabtu, 6 April 2019 | 8:27pm
Peserta menuruni bukit ketika melalui Kuala Kelawang pada perlumbaan LTdL 2019. - NSTP/Rosdan Wahid
Peserta melalui Jalan Bukit Ampang sempena LTdL 2019. - NSTP/Rosdan Wahid

LTdL: Laluan KL-Tampin bukan untuk pakar pecut

TAMPIN: Itu rumusan jaguh pecut negara, Mohd Harrif Saleh mengenai saingan peringkat satu Le Tour de Langkawi (LTdL) dari Kuala Lumpur ke Tampin, hari ini.

Ia terbukti apabila pelumba Terengganu Cycling Team itu ketinggalan kira-kira 18 minit daripada kelompok pelumba yang menamatkan perlumbaan dengan catatan 4 jam 20 minit 40 saat yang dimenangi Marcus Culey dari Team Sapura Cycling.

Harrif berada di kedudukan ke-94 dengan seteru utama yang juga penyandang gelaran Raja Pecut, Andrea Guardini di tangga ke-96.


Jaguh pecut negara, Mohd Harrif Saleh. - Arkib NSTP/Amran Hamid

"Ia antara paling mencabar antara lapan peringkat perlumbaan, saya puas hati dapat tamatkan perlumbaan. Ada empat bukit dan saya tetapkan fokus untuk berada dalam kumpulan bersama Guardini dan tidak berpecah," katanya.

Harrif menjelaskan, saingan peringkat pertama itu memang memberikan masalah buat pakar pecut walaupun dia berada pada tahap terbaik sebelum bermula perlumbaan.

Katanya, dia hanya mampu bertahan supaya masanya tidak jauh ketinggalan.


Pelumba Team Sapura Cycling, Marcus Culey menjuarai peringkat pertama saingan LTdL 2019 dari Kuala Lumpur ke Tampin, Negeri Sembilan. - NSTP/Rosdan Wahid

Peserta melintasi bangunan Pertubuhan Penganut Dewa Si Than Kong, Kuala Pilah pada perlumbaan LTdL 2019. - NSTP/Rosdan Wahid

Dan jelasnya, dia akan cuba mencari kedudukan lebih baik pada saingan seterusnya yang menyediakan laluan lebih sesuai.

"Esok keadaanya hampir sama kerana masih ada banyak bukit dan laluan antara paling jauh.

"Bagi saya peringkat tiga, lima, enam sehingga tamat lebih sesuai untuk pakar pecut seperti kami," katanya.

Saingan peringkat kedua esok membabitkan perlumbaan sejauh 200.6 kilometer dari Senawang ke Melaka dengan tiga zon pecutan kategori 3.

300 dibaca
Berita Harian X