Ahad, 7 April 2019 | 10:15am
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali melakukan flag-off melepaskan pelumba pada peringkat pertama saingan LTdL 2019 di KLCC, semalam. - Foto Aswadi Alias

Culey tawan KL-Tampin

TAMPIN: Pelumba pasukan profesional negara, Marcus Culey dari Team Sapura Cycling melakukan kejutan apabila menjuarai peringkat pertama saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 dari Kuala Lumpur ke Tampin, Negeri Sembilan, semalam.

Culey mencatat masa 4 jam 20 minit 40 saat untuk memenangi saingan itu kira-kira lima saat di hadapan kelompok besar dalam saingan sejauh 176.9 kilometer (km) itu.

Pendahulu keseluruhan

Kemenangan berkenaan turut memberikan pelumba dari Australia itu Jersi Kuning selaku pendahulu keseluruhan selain Jersi Hijau selaku Raja Pecut.

"Ia sesuatu yang menakjubkan (menang di Tampin), saya tidak fikir boleh melakukannya.

"Ia sesuatu yang bagus apabila dapat melakukannya untuk pasukan Malaysia dan inilah cara saya membalasnya," kata Culey.

Pelumba Australia itu yang baharu menyertai pasukan itu kira-kira tiga minggu lalu berkata, selepas berjaya berada di kelompok hadapan berbaki 20km, dia hanya fokus untuk menamatkannya.


Marcus Culey (jersi kuning), Shtein Grigoriy (jersi putih dan Lyons Angus (jersi merah) menjuarai peringkat pertama saingan LTdL 2019 dari Kuala Lumpur ke Tampin, Negeri Sembilan. - NSTP/Rosdan Wahid

Pelumba menuruni bukit ketika melalui Kuala Klawang pada perlumbaan LTdL 2019, semalam. - Foto Rosdan Wahid

Kelompok besar

Katanya, ia berakhir dengan kelegaan apabila melepasi garisan penamat agak jauh daripada kelompok besar pelumba yang cuba mengejarnya.

Culey turut meraih Jersi Hijau apabila mengumpul 21 mata daripada tiga zon pecutan diikuti Brendon Davids (15 mata) dan Travis McCabe (14 mata).

Sementara itu, pelumba Oliver's Real Food Racing, Angus Lyons meraih Jersi Merah selaku Raja Bukit.

Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia pula menjadi milik Grigoriy Shtein dari Vino-Astana Motors.

181 dibaca
Berita Harian X