Isnin, 8 April 2019 | 10:19pm
PASUKAN Hoki Wanita Kebangsaan, Hanis Onn (kanan) cuba mengasak pasukan India, Minz Lilima (tengah) dalam perlawanan persahabatan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. - Foto Mahzir Mat Isa

Malaysia ikat India di Bukit Jalil

KUALA LUMPUR: Skuad hoki wanita negara hampir memalukan India apabila mengikat jaguh nombor satu Asia itu 4-4 dalam perlawanan ujian ketiga menghiburkan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, di sini, sebentar tadi.

Sungguh pun gagal membalas dendam di atas kekalahan 3-0 pada aksi pertama Khamis lalu dan 5-0 selang dua hari kemudian, persembahan lebih membanggakan ditunjukkan skuad negara kali ini terutamanya bagi pemain berusia 17 tahun, Kirandeep Kaur.

Dia tenang memastikan Malaysia di ranking ke-22 dunia berupaya menguasai bahagian tengah selain mengucar-kacirkan barisan pertahanan pasukan pasukan nombor sembilan dunia itu.

Bagi tonggak senior, Fatin Syafika Mahd Sukri keputusan itu menyaksikan mereka menepati sasaran pasukan untuk sekurang-kurangnya mencuri satu keputusan seri daripada lima perlawanan ujian dengan India.

"Kami sudah lama tidak mempunyai aksi kompetitif dan ia menyebabkan kami agak sukar mendapat momentum. Jadi keputusan ini boleh dianggap sudah cukup baik buat kami," katanya.

Turun dengan barisan terbaik, Malaysia bagaimanapun dikejutkan dengan jaringan pembukaan padang penyerang India, Navjot Kaur pada minit ke-13 sebelum Navneet Kaur menyempurnakan pukulan strok untuk meletakkan pelawat selesa di depan 2-0.

Pukulan itu dihadiahkan oleh pengadil selepas bola pukulan sudut penalti diambil pemain India terkena kaki pertahanan negara, Nuraini Rashid yang berada pada kedudukan lebih belakang daripada penjaga gol, Farah Ayuni Yahya.

Namun, dua gol dalam tempoh dua minit di suku kedua menyaksikan skuad negara kembali mengikat India dengan arkitek tengah, Kirandeep mencetuskan inspirasi kebangkitan berkenaan.

Bermula dengan kejayaannya memecahkan kebuntuan gol menerusi percubaan deras pada minit ke-26, Kirandeep kemudiannya muncul arkitek bagi gol kedua selepas usahanya memperoleh pukulan sudut penalti disudahkan pakar flik Nuraini Rashid berselang seminit

Nuramirah Syakirah dan Nuraini sekali lagi terus membuktikan pukulan sudut penalti sebagai 'lubuk' gol negara apabila menyumbat gol ketiga dan keempat masing-masing pada minit ke-35 dan 38 untuk menyaksikan Malaysia buat pertama kali mendahului aksi berkenaan.

Begitupun, kedudukan itu hanya bertahan seketika sebelum India memperoleh gol padang sumbangan Navneet pada minit ke-45 dan Lal Remsiami (m-54).

Berita Harian X