Rabu, 10 April 2019 | 2:43pm
Kirandeep Kaur. - Arkib NSTP
Kirandeep Kaur. - Arkib NSTP

Kirandeep ada potensi jadi pemain dunia - Dhaarma

KUALA LUMPUR: Pengendali skuad hoki wanita negara, Dhaarma Raj Abdullah menyifatkan Kirandeep Kaur sebagai berpotensi untuk muncul pemain bertaraf dunia.

kelmarin, pemain berusia 16 tahun itu memainkan watak penting ketika Malaysia bangkit daripada ketinggalan 2-0 untuk mengikat India 4-4 dalam perlawanan ujian ketiga di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Dia menjaringkan gol pertama negara di suku kedua, selain menghadiahkan pukulan sudut penalti yang membawa kepada gol penyamaan disempurnakan pakar flik Nuraini Rashid selang dua minit kemudian.

Ia adalah kali pertama dalam sejarah pertembungan membabitkan kedua-dua pasukan menyaksikan India gagal menewaskan Malaysia.

Malah, kekalahan itu seakan sukar diterima ketua jurulatih India, Sjoerd Marijne dari Belanda yang gagal mengawal emosi apabila dilihat mengherdik Dhaarma selepas semboyan penamat dibunyikan.

"Pada awalnya saya menyerapnya ke dalam skuad negara pada usia 15 tahun, saya merasakan dia sebagai pelaburan jangka panjang negara," kata Dhaarma merujuk kepada Kirandeep.

"Tetapi jangkaan saya itu meleset apabila kini perlahan-lahan dia mengukuhkan tempatnya dalam pasukan dan tidak mustahil dia akan menjadi tonggak utama pasukan di Pusingan Final Siri FIH di Ireland, Jun depan.

"Bukan saja dari semalam, tetapi dari ujian pertama lagi dia menonjolkan diri, aksinya lebih matang daripada usianya, saya yakin dia ada potensi untuk jadi pemain bertaraf dunia satu hari nanti," kata Dhaarma.

Penampilan sulung Kirandeep untuk negara hadir pada Pusingan Pertama Siri Kelayakan Olimpik di Singapura, Jun tahun lalu, dan sejak daripada itu dia terus dipilih termasuk mewakili Malaysian Tigress pada Sukan Asia di Indonesia dua bulan kemudian.

Di sebalik aksi cemerlangnya ketika ini, bagaimanapun terselit kisah pengorbanan seorang ayah yang sanggup menghantar dan menunggu anaknya menjalani latihan setiap hari di Bukit Jalil.

Malah, difahamkan bapa Kirandeep, Gurdip Singh ada kalanya tidur dalam kereta pada setiap sesi latihan skuad negara yang bermula daripada 6 hingga 8 pagi sebelum ini.

Berita Harian X