Rabu, 10 April 2019 | 8:31pm
ATLET Malaysia, Irfan Shamsuddin.

MSN yakin Irfan mampu raih pingat

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) mengetepikan kontroversi dicipta Muhammad Irfan Shamsuddin dan tetap menyenaraikan jaguh lempar cakera ke Kejohanan Olahraga Asia (ATF) di Doha, Qatar.

Meskipun Irfan pernah memuat naik status kontroversi di laman sosial awal tahun lalu, Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin menegaskan pihaknya tetap memberikan sokongan kepada atlet yang berpotensi mengharumkan nama negara.

"Irfan adalah pemenang pingat perak pada kejohanan ATF sebelum ini. Sudah semestinya kita akan sokong perancangan dia untuk mengekalkan kedudukan sebagai antara atlet terbaik di rantau Asia,” kata Jefri.

"MSN tetap menyokong atlet walaupun ada kontroversi, asalkan perancangan yang dibuat dibincangkan dengan pihak persatuan, jurulatih dan MSN.

"Sebab itulah latihan pendedahan yang dia sedang jalani di luar negara juga sudah diluluskan dan diberi bantuan."

Jefri menjelaskan MSN berharap pemegang rekod kebangsaan itu dapat memenangi pingat di Doha kelak.

"MSN, KOM (Kesatuan Olahraga Malaysia) dan barisan kejurulatihan berharap Irfan mampu memenangi pingat di ATF kali ini bagi membolehkan dia melayakkan diri ke Kejohanan Dunia pada September nanti dan seterusnya memburu slot kelayakan untuk Olimpik 2020," katanya.

Irfan meraih perak pada Kejohanan Balapan dan Padang Asia (ATF) ke-22 di Bhubaneswar, India, 2017 dengan catatan 60.96m dan dia akan beraksi pada kejohanan sama di Doha pada 21 hingga 24 April ini.

 

 

Berita Harian X