Khamis, 11 April 2019 | 6:08pm
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri Perak, Howard Lee Chuan How. - Arkib NSTP
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri Perak, Howard Lee Chuan How. - Arkib NSTP

200 berentap kejohanan e-sukan Perak

IPOH: Seramai 200 pemain sukan elektronik (e-sukan) akan beradu nasib pada pusingan akhir Kejohanan E-Sukan Perak di Movie Animation Park Studios (MAPS) di sini, selama dua hari, bermula Sabtu ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How berkata, kejohanan itu adalah anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Persatuan Sukan Elektronik Perak (ESP) dan Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak).

Katanya, ia bertujuan memilih atlet yang akan mewakili Perak ke pusingan akhir di Axiata Arena, Bukit Jalil pada penghujung bulan ini dan pemenang seterusnya layak mewakili negara ke Sukan SEA 2019 di Filipina pada November ini.

"Untuk pusingan akhir itu, atlet e-sukan akan bersaing dengan wakil dari 12 buah negeri dan tiga Wilayah Persekutuan dalam merebut tempat untuk mewakili negara ke temasya sukan terbesar di Asia Tenggara nanti.

"Pemenang untuk setiap permainan akan menjalani latihan intensif (boot camp) yang akan diuruskan oleh E-Sport Malaysia dan Kementerian Belia dan Sukan," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Lee berkata kerajaan negeri amat komited dalam melahirkan atlet e-sukan yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.

-- BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X