Khamis, 11 April 2019 | 8:53pm
Pemain negara, Nuraini Rashid diasak pemain India pada aksi persahabatan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi. - Ihsan Arena Hoki Malaysia

Strategi Dhaarma bangkitkan Malaysian Tigers cabar India

KUALA LUMPUR: Pengendali skuad hoki wanita negara, Dhaarma Raj Abdullah mengakui pendekatan kawalan zonal ketika bertahan menjadi kunci kejayaan skuad Malaysian Tigress bimbingannya bangkit memberi tentangan sengit dalam tiga aksi terakhir bertemu India.

Sebentar tadi, pasukan nombor ke-22 dunia itu memastikan lawannya itu pulang hampa dalam aksi penutup siri lima perlawanan ujian di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, di sini, apabila sekadar mencatat kemenangan 1-0.

Dengan reputasi India yang menduduki ranking kesembilan dunia, keputusan itu boleh dianggap sudah baik selepas terdahulu mereka sekadar tewas dengan jaringan sama dalam aksi keempat selain terikat 4-4 bagi aksi ketiga.

Malah, skuad kendalian Dhaarma menunjukkan corak pertahanan yang baik sepanjang 60 minit aksi hari ini, kecuali ketika melepaskan gol tunggal India pada minit ke-35 hasil penyudah Navjot Kaur.

"Sebenarnya sejak tiga perlawanan terakhir saya cuba menggunakan sistem kawalan zonal berbanding kawalan individu sebelum ini," kata Dhaarma apabila ditanya mengenai peningkatan aksi pasukannya selepas dibelasah dalam dua aksi pertama oleh India.


Pemain negara, Wan Norfaiezah Saiuti (kiri) cuba mengawal bola sambil diasak pemain India dalam perlawanan ujian kelima di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. - Ihsan Arena Hoki Malaysia

"Kami cuba mencipta situasi tiga lawan satu apabila setiap kali pemain India memegang bola dan nampaknya ia memberi kesan positif dari aspek bertahan.

"Cuma yang menjadi masalah adalah bahagian serangan yang tampak tidak menjadi terutamanya untuk perlawanan keempat dan kelima," katanya.

Dalam aksi petang tadi, India menguasai sepenuhnya permainan suku pertama dan kedua, namun sekadar mencipta satu percubaan tepat selain dua pukulan sudut penalti berbanding Malaysia hanya satu.

Bersambung suku ketiga, India nyaris memecah kebuntuan tetapi dinafikan ketangkasan penjaga gol nombor dua negara, Mas Huzaimah Aziz yang menyelamatkan percubaan berbahaya pemain India.

Bagaimanapun, kegagalan pertahanan Nuraini Rashid untuk mengeluarkan bola dengan baik dari kawasan D membawa padah apabila disambar Navdeet Kaur yang pantas melorongkan bola untuk skuad pelawat memperolehi gol yang disudahkan Navjot pada minit ke-35.

Malaysia yang dalam persiapan ke kempen kelayakan Olimpik, Pusingan Final Siri FIH di Ireland, Jun depan cuba meningkatkan asakan tetapi gagal untuk mencipta gerakan berbahaya terhadap kubu pelawat.

Huzaimah juga cemerlang menepis dua percubaan berbahaya India di suku keempat dengan India turut mensia-siakan pukulan sudut penalti ketiga yang diperolehi di hujung aksi.

Drama panas juga tercetus di minit terakhir permainan apabila pengendali India, Sjoerd Marijne naik angin apabila memanggil pemainnya untuk keluar daripada padang meskipun pengadil menghadiahkan pukulan sudut penalti betul-betul ketika semboyan penamat dibunyikan.

Malah, dia dipercayai mengeluarkan kata-kata kesat kepada pegawai perlawanan sehingga memaksa Dhaarma akur untuk pukulan itu tidak diambil.

Berita Harian X