Sabtu, 13 April 2019 | 8:29pm
PERDANA Menteri, Tun Mahathir Mohamad melepaskan peserta pada peringkat terakhir LTdL di Langkawi, hari ini. - Foto Rosdan Wahid

Dr Mahathir bangga pelumba negara semakin menyerlah

LANGKAWI: Tun Dr Mahathir Mohamad bangga melihat pelumba dan pasukan negara semakin menyerlah dalam sukan berbasikal di peringkat antarabangsa seperti perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) edisi ke-24 yang berakhir di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, pada peringkat awal pelumba negara tidak menunjukkan persembahan baik dalam perlumbaan berkenaan namun selepas dilatih mereka kini sudah berjaya.

"Pada mulanya pasukan kita tiada apa-apa, lama kelamaan kita dapat latih dan sekarang mereka sudah berjaya. Hari ini kita lihat ada yang dapat Jersi Kuning. Kebolehan sudah ada pada rakyat Malaysia dan kita harap sukan berbasikal akan dapat diikuti seluruh rakyat Malaysia.

"Semangat yang kita tanam sudah kembali semula, saya amat gembira dengan acara ini," katanya pada sidang media selepas peringkat terakhir LTdL di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bergambar bersama pemenang LTdL 2019 di Langkawi, hari ini. - Foto AFP

Pada saingan terakhir LTdL itu, pasukan profesional negara, Team Sapura Cycling mencipta kejayaan paling besar apabila pelumbanya, Benjamin Dyball muncul juara keseluruhan.

Pakar pecut negara, Mohd Harrif Saleh turut memenangi satu peringkat perlumbaan yang juga kali kedua sepanjang 24 tahun selepas kali pertama dilakar Anuar Manan pada 2010.

Dr Mahathir berkata, selain melihat Langkawi dijadikan sebagai pulau pelancongan, beliau juga mahu ia menjadi pusat sukan berbasikal yang berupaya melatih atlet hingga bergelar juara dunia.

Ditanya sama ada pada penganjuran LTdL akan datang boleh menjadikan Langkawi lokasi permulaan saingan, Perdana Menteri berkata, ia boleh dilakukan namun bergantung kepada sokongan mereka yang berminat.

Mengenai kemeriahan saingan jelajah berbasikal terbesar Asia itu, Perdana Menteri berkata ia tampak hidup semula apabila ramai yang keluar untuk melihatnya sendiri malah saingan di Genting Highlands ditonton jutaan peminat seluruh dunia sekali gus memberikan publisiti cukup baik buat Malaysia.

Saingan LTdL kali ini bermula di ibu negara pada 6 April lalu membabitkan lapan peringkat perlumbaan dengan dua saingan terakhir berlangsung di pulau lagenda itu.

Berita Harian X