Khamis, 18 April 2019 | 2:53pm

MAKAF resah prestasi hambar atlet senior di Bangkok

KUALA LUMPUR: Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) mengakui bimbang dengan prestasi hambar dipamerkan oleh barisan atlet senior pada Kejohanan Persekutuan Karate Asia Tenggara (SEAKF) di Bangkok, minggu lalu.

Setiausaha Agung MAKAF, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata meskipun ia hanya kejohanan pemanas badan, namun keputusan beberapa atlet yang terkandas awal memberi gambaran tidak baik terhadap peluang negara di Sukan SEA Filipina, November ini.

"Secara keseluruhannya kita berpuas hati dari segi pungutan pingat, cuma sepatutnya atlet senior yang berada dalam kem kebangsaan perlu lebih menyerlah.

"Ini kerana Kejohanan SEAKF ini tidaklah begitu mencabar apatah lagi dengan statusnya yang hanya membabitkan negara dari rantau ini saja.

"Jadi kalau atlet senior gagal meraih keputusan baik bermakna kita akan berdepan masalah untuk memenangi pingat di Sukan SEA," katanya.

Malaysia menghantar seramai 68 atlet ke Bangkok untuk muncul kontinjen kedua terbesar di belakang Vietnam, namun sekadar menamatkan saingan sebagai kontinjen ketiga terbaik dengan meraih sembilan emas.

Vietnam dinobatkan juara keseluruhan dengan meraih 22 emas manakala tuan rumah Thailand - yang dulunya menjadi 'lauk' Malaysia - di tempat kedua dengan 13 emas.

Daripada 68 atlet negara, penyingkiran awal pemenang pingat ganga kumite Sukan Asia 2018, S Prem Kumar (bawah 55 kilogram) paling perit untuk diterima dengan atlet wanita, P Madhuri turut mengikuti jejak langkahnya.

Bagaimanapun, Nur Azmi percaya kekalahan itu harus menjadi pengajaran paling berguna untuk pihaknya meningkatkan usaha memperbaiki prestasi kem karate negara.

"Tiada alasan lagi untuk kami terus mengatakan 'Kami sudah mencuba yang terbaik' dan 'Nasib tidak menyebelahi kami'. Kami tidak mahu lagi mendengar alasan sedemikian," katanya.

90 dibaca
Berita Harian X