Khamis, 18 April 2019 | 5:50pm
PENJAGA gol nombor satu hoki negara, S Kumar. - Foto Fathil Asri

Kumar diketepikan hoki Siri Final FIH

KUALA LUMPUR: Penjaga gol nombor satu hoki negara, S Kumar sekali lagi tersisih daripada pasukan kebangsaan apabila tidak disenaraikan pada kejohanan Hoki Siri Final FIH 2019 di Stadium Nasional Hoki, Bukit Jalil, di sini, pada 26 April hingga 4 Mei ini.

Kumar mengalami kecederaan koyak otot paha pada Februari lalu sekali gus terpaksa diketepikan sebelum ini ketika pasukan negara mengharungi Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, bulan lalu.

Pemain senior dari Tampin, Negeri Sembilan dan berusia 39 tahun itu berada dalam senarai kecederaan sebelum ini yang turut disertai kapten pasukan, Sukri Mutalib selain Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan, Shahril Saabah dan Muhammad Najib Abu Hassan.

Bagaimanapun pengendali skuad negara, Roelant Oltmans mengesahkan semua empat pemain yang berada dalam senarai kecederaan itu sudah kembali cergas dan menjalani latihan.

"Kami mempunyai pemain yang cedera sebelum ini. Hanya seorang pemain yang pasti terkeluar daripada kejohanan iaitu Kumar dan semua yang lain sudah kembali di padang dan berlatih," kata Oltmans kepada media dan memberitahu senarai muktamad 18 pemain bakal diumumkan esok.

Dengan ketiadaan Kumar, pastinya sandaran negara tertumpu kepada tiga penjaga gol simpanan iaitu Hairi Abd Rahman, Hafizuddin Othman dan Zaimi Md Deris.

Hairi dan Zaimi menggalas cabaran negara di Ipoh dan bagi Oltmans: "Saya rasa kamu sudah lihat di Piala Sultan Azlan Shah. Hairi beraksi dengan baik di kejohanan itu. Sudah tentu, kami tidak berapa gembira apabila Kumar tidak beraksi dan (perlawanan) akan menjadi lebih getir.

"Jujurnya, kami sudah menjangkakan perkara ini dan bersedia dengan Hairi, Haifuzuddin dan Zaimi. Semuanya berada pada tahap kecergasan yang baik dan kami amat yakin dengan penjaga gol ini."

Malaysia yang berada di ranking ke-13 dunia berada dalam Kumpulan B bersama China, Brazil dan Itali pada saingan kedua terakhir untuk kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Kanada pula berada dalam saingan Kumpulan A bersama Austria, Wales dan Belarus.

319 dibaca
Berita Harian X