Khamis, 18 April 2019 | 7:13pm
Pelumba Sapura Cycling Team, Mohd Shukri Muhammad Shaiful Adlan memenangi jersi hitam (Pelumba Muda Terbaik) pada peringkat kedua TDIJ dari Muar ke Yong peng di Tour De Iskandar Johor 2019 (TDIJ) di Yong Peng. - Foto Aswadi Alias

Shaiful Adlan raih Jersi Hitam Tour de Iskandar Johor

BATU PAHAT: Pelumba negara, Muhammad Shaiful Adlan Mohd Shukri, menceriakan rakyat Malaysia apabila menjadi pelumba tunggal negara yang berjaya memenangi jersi perlumbaan pada peringkat kedua Tour de Iskandar Johor 2019 (TDIJ), hari ini.

Muhammad Shaiful, 21, berkata beliau tidak menyangka mampu menyarung Jersi Hitam selepas menjadi pelumba muda terbaik dalam perlumbaan sejauh 172.4 kilometer (km) dari Dataran Tanjung Emas, Muar ke Yong Peng dengan catatan masa terkumpul 6 jam 20 minit 18 saat.

Dia yang juga pelumba dari pasukan Team Sapura Cycling (TSC) berjaya menjadi pelumba kedua terbaik pada peringkat pertama semalam, dari Dataran Mahkota, Iskandar Puteri ke Dataran Penggaram, Batu Pahat dengan catatan masa 2 jam 35 minit 22 saat.

“Kejayaan semalam telah membakar semangat saya untuk lebih berjaya pada peringkat kali ini (kedua) dan Alhamdulillah telah berjaya.

“Pada perlumbaan peringkat terakhir esok saya akan cuba mengulangi kejayaan ini,” katanya dalam sidang media selepas perlumbaan berkenaan.

Hadir sama penyampaian hadiah berkenaan ialah Pengarah Urusan TDIJ, Datuk Mohamad Johari; Ahli Dewan Undangan Negeri Yong Peng, Chew Peck Choo; Pengerusi TDIJ, Ja’affar Hashim dan Pegawai Daerah Batu Pahat, Zulkiflee Abbas.


Jersi hitam (Pelumba Muda Terbaik) dimenangi pelumba Sapura Cycling Team, Mohd Shukri Muhammad Shaiful Adlan (dua kiri). Pelumba Xspeed United Continental, Ryan Roth (dua kanan) memenangi jersi putih (Raja Pecut), pelumba Sapura Cycling Team, Mario Vogt memenangi Jersi Biru (Pendahulu Keseluruhan), jersi merah (Raja Bukit) dimenangi oleh, 7-Eleven Cliqq-Air21 Roadbike Philippines, Dominic Perez pada peringkat kedua TDIJ dari Muar ke Yong Peng di Tour De Iskandar Johor 2019 di Yong Peng. - Foto Aswadi Alias

Sementara itu, bagi pemenang Jersi Merah untuk kategori Raja Bukit dimenangi oleh Dominic Perez dari pasukan 7Eleven Cliqq-Air21 Roadbike Philippines (7RP) dengan mengutip empat mata.

Bagi Jersi Putih pula, gelaran Raja Pecut milik Ryan Roth dari pasukan XSpeed United Continental (XSU) dengan jumlah 25 mata terkumpul, manakala pemilik Jersi Biru bagi juara keseluruhan kepunyaan Mario Vogt dari pasukan TSC.

Bagi peringkat kedua ini, pelumba TSC, Cristian Raileanu mendapat tempat pertama dengan catatan masa 3 jam 43 minit dan 33 saat manakala kedua Zhang Zheng dari pasukan Hengxiang Cycling Team (HEN) dengan catatan masa 3 jam 43 minit dan 37 saat, manakala ketiga milik Perez dari 7RP.

Dalam pada itu, bagi perlumbaan peringkat ketiga yang juga peringkat terakhir TDIJ 2019, membabitkan 108 pelumba dari 22 pasukan ini akan mengharungi 107.7km bermula dari Dataran Tasik, Kluang ke Kompleks Warisan, Sungai Chat, Johor Bahru

-- BERNAMA

414 dibaca
Berita Harian X