Jumaat, 19 April 2019 | 12:41am
Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail. - Foto Aswadi Alias

Latihan ala komando gempur Sukan SEA

 

KUALA LUMPUR: Sentuhan latihan ala komando menjadi sebahagian daripada penekanan utama dalam usaha membentuk kekuatan dan meningkatkan tahap psikologi skuad sepak takraw negara.

Apa yang dicari bukan saja tertumpu kepada dua perkara berkenaan semata-mata, tetapi juga bagi membentuk rasa kekitaan dalam pasukan bagi menggempur Sukan SEA di Filipina pada November depan.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail, berkata latihan selama sebulan itu sedang berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah membabitkan semua 21 pemain negara.

"Untuk tahun lalu kita buat di Jugra, tetapi di sana kita berdepan isu gelanggang yang menyebabkan latihan kurang tertumpu dalam gelanggang.

"Untuk tahun ini kita memilih UUM dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kerana menyediakan dua pegawainya untuk mengendalikan latihan intensif kali ini.

"Kita juga mendapat sokongan daripada pensyarah UUM dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dari aspek psikologi dan biomekanik," katanya.

Malah, Ahmad turut mendedahkan latihan ala-komando itu menyaksikan barisan pemain negara turut diarahkan memotong rambut pendek.

"Tindakan ini lebih kepada hendak melihat semangat dan kesanggupan mereka," jelas Ahmad yang turut menetapkan sekurang-kurangnya sasaran satu pingat emas di Sukan SEA akan datang.

Semua 21 pemain negara diketuai tekong nombor satu, Syahir Rosdi mula berkampung di UUM sejak 6 April lalu dengan latihan berkenaan dijangka tamat pada 3 Mei ini.

610 dibaca
Berita Harian X