Jumaat, 19 April 2019 | 6:59pm
KETUA Pengarah MyIPO, Datuk Mohd Roslan Mahayudin (tiga dari kiri) dan Pengarah YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed (tiga dari kanan) ketika sidang media pelancaran Jualan Amal Barangan Pre-Loved Atlet Malaysia di Kuala Lumpur. - Foto Nadim Bokhari

YAKEB anjur jualan amal barangan atlet

KUALA LUMPUR: Sejak mengambil alih Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) bulan lalu, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed nampaknya tidak pernah kering idea dalam menjana pendapatan tambahan buat yayasan berkenaan.

Terbaru, Noorul segera menjalin kerjasama dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) untuk mengadakan jualan jualan amal barangan ‘pre-loved’ atlet Malaysia di Uptown Sports Bangi pada 4 Mei depan.

Pelbagai barangan dan peralatan milik atlet serta bekas atlet negara akan dilelong pada acara sempena Sambutan Hari Harta Intelek Sedunia itu termasuk jersi Malaysia kepunyaan penyerang hoki negara, Rodhanizam Mat Radzi dan bola perlawanan akhir Piala AFF 2018.

Menurut Noorul, hasil semua jualan barangan berkenaan akan disumbangkan 100 peratus kepada tabung YAKEB For X-Athlete yang diwujudkan bagi menampung perbelanjaan perubatan bekas atlet.

"Jualan amal ini turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada Majlis Sukan Negara (MSN), Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selain beberapa bekas atlet yang akan menyumbang barangan peribadi kepunyaan mereka.

"Ia akan dijual melalui dua kaedah iaitu jualan secara terus dan jualan secara lelongan bagi beberapa barangan dikategorikan sebagai premium," katanya pada sidang media pelancaran Jualan Amal Barangan Pre-Loved Atlet Malaysia di sini.

Turut memeriahkan majlis berkenaan adalah Ketua Pengarah MyIPO, Datuk Mohd Roslan Mahayudin.

Sebanyak 30 hingga 50 barangan dan peralatan dijangkan akan dijual secara terus dan dilelong di Uptown Sports Bangi, 4 Mei depan.

Jelas Noorul lagi, beberapa barangan bekas atlet negara seperti Datuk Ng Joo Ngan bagi sukan berbasikal, Santokh Singh dan Khalid Ali (bola sepak) semuanya boleh dimiliki peminat pada majlis jualan amal itu nanti.

61 dibaca
Berita Harian X