Jumaat, 19 April 2019 | 8:21pm
KETUA Jurulatih Hoki Negara Roelant Oltmans (kiri) dan Taeke Taekema (kanan) menyaksikan skuad hoki negara menjalani sesi latihan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. - Foto BERNAMA

Oltmans panggil semula 4 tonggak

 

KUALA LUMPUR: Pengendali negara, Roelant Oltmans melaungkan keyakinan tinggi terhadap barisan 18 pemain yang disenaraikan dengan misi muncul dua pasukan terbaik pada kempen Pusingan Final Siri FIH, di sini, bermula 26 April ini.

Dalam senarai terbaru hari ini menyaksikan pakar dari Belanda itu membuat rombakan besar dengan menyenaraikan semula kapten pasukan, Sukri Mutalib dan Syed Syafiq Syed Cholan (pertahanan) serta penjaga gol, Hafizuddin Othman.

Namun, kejutan terbesar pastinya kepulangan penyerang yang sebelum ini sering dibelenggui masalah kecederaan, Shahril Saabah yang kali terakhir membantu Malaysian Tigers meraih tempat ketiga Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Oman, Oktober lalu.

Oltmans yang ditemui berkata: “Saya memilih pemain yang saya yakin mempunyai keupayaan terbaik merealisasikan apa yang perlu kami lakukan iaitu melangkah ke perlawanan kelayakan terakhir hujung tahun nanti dengan memastikan pasukan menamatkan kejohanan di kedudukan dua terbaik.

“Sudah semestinya kejuaraan menjadi matlamat kami tetapi apabila perlawanan bermula, kami akan mengambil satu perlawanan demi satu perlawanan.

“Dalam masa yang sama saya mempunyai keyakinan cukup tinggi terhadap barisan pemain yang telah saya pilih di mana saya percaya mereka akan selesaikan tugas dengan sebaik mungkin dan saya cukup teruja untuk menantikan kejohanan bermula,” jelasnya.

Dengan kepulangan empat tonggak pasukan ini bermakna tiada tempat buat tiga pemain yang membuat penampilan sulung di Piala Sultan Azlan Shah bulan lalu iaitu penjaga gol Zaimi Mat Deris, Arif Syafie Ishak dan Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran (pertahanan).

Turut disisihkan adalah Amirol Aideed Mohd Arshad dan penjaga gol nombor satu negara, S Kumar yang terpaksa melupakan aksi kerana gagal pulih sepenuhnya daripada kecederaan koyak otot paha pada Februari lalu.

Dalam pada itu, Roelant turut percaya dengan kembalinya empat pemain yang mengalami kecederaan sebelum ini mampu untuk menambah lagi kekuatan pasukannya sambil mendedahkan beliau menekankan aksi menyerang kali ini.

“Saya melakukan beberapa pertukaran daripada skuad Piala Sultan Azlan Shah baru-baru ini dengan kembalinya pemain berpengalaman yang mengalami kecederaan sebelum ini seperti Sukri, Syed, Shahril dan juga Hafizuddin.

“Selain itu saya mengekalkan 14 pemain yang beraksi dengan baik ketika di Piala Sultan Azlan Shah dan saya percaya pemain akan bermain bermati-matian.

“Saya juga akan menerapkan taktikal untuk menyerang lebih banyak daripada aksi sebelum ini kerana salah satu masalah yang saya kenalpasti adalah menterjemahkan setiap peluang kepada jaringan, jadi menyerang akan menjadi keutamaan," katanya.

Malaysia akan bertemu Wales dalam aksi persahabatan pada Selasa ini di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil sebagai aksi pemanas badan sebelum turun untuk perhitungan sebenar berdepan Brazil pada  26 April ini.

 

Senarai 18 pemain negara:

Hairi Abd Rahman, Hafizuddin Othman (Penjaga gol); Sukri Abdul Mutalib, Razie Abd Rahim, Faiz Helmi Jali, Najmi Farizal Jazlan, Syed Syafiq Syed Cholan (Pertahanan);Muhammad Marhan Mohd Jalil (Tengah), Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi, Meor Muhamad Azuan Hassan, Mohd Fitri Saari, Mohd Ashran Hamsani (tengah); Azrai Aizad Abu Kamal, Nor Syafiq Sumantri, Muhammad Shahril Saabah, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, Muhammad Firhan Ashari, Faizal Saari (penyerang)

 

607 dibaca
Berita Harian X