Sabtu, 20 April 2019 | 3:07pm
MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. - Foto BERNAMA

Selesaikan segera hutang MOM - Syed Saddiq

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mahu tiga persatuan sukan yang masih berhutang dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menyelesaikan hutang mereka secepat mungkin tanpa campur tangan daripada pihak kementerian.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata MOM dan persatuan sukan terbabit masih dalam proses rundingan mengenai isu berkenaan. 

“Saya masih belum menerima sebarang maklum balas daripada MOM mahupun persatuan sukan terlibat mengenai masalah ini. Namun saya dimaklumkan bahawa perkara ini sedang dirunding antara kedua-dua pihak.

“Jadi, setakat ini kita cuba biarkan rundingan tersebut diselesaikan antara pihak mereka sebelum wujudnya apa-apa campur tangan daripada pihak kementerian. Kami secara prinsipnya yakin perkara ini dapat diselesaikan dengan baik antara mereka,” katanya kepada media selepas merasmikan program Sukan Projek Perumahan Rakyat (PPR) peringkat negeri Selangor di PPR Lembah Subang Dua, hari ini. 

Media melaporkan pada 9 April lepas - MOM menerusi Timbalan Presidennya, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi memberi amaran kepada tiga persatuan sukan untuk melunaskan hutang bernilai ratusan ribu ringgit kepada badan induk itu.

Abdul Azim juga menjelaskan pihaknya mungkin akan mengambil tindakan drastik dengan tidak membenarkan persatuan sukan terbabit menghantar atlet mereka ke Sukan SEA di Filipina, November depan.

Hutang tersebut adalah perbelanjaan yang telah dikeluarkan MOM bagi menghantar atlet Kategori B iaitu atlet yang perlu ditanggung pihak persatuan sukan masing-masing untuk bertanding di Sukan Asia Indonesia tahun lepas.

Perbelanjaan atlet kategori B akan dibayar semula MOM sekiranya atlet persatuan sukan berkenaan berjaya meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa.

Pada Sukan Asia lepas, hanya dua daripada 241 atlet kategori B meraih pingat pada temasya edisi ke-18 itu, Qabil Ambak Mahamad Fathil (pingat perak acara dressage) dan pesilat Kelas C (55-60kg), Mohamad Hazim Amzad yang meraih gangsa. - BERNAMA

484 dibaca
Berita Harian X