Sabtu, 20 April 2019 | 4:25pm
KETUA jurulatih skuad sepak takraw negara, Abdul Talib Ahmad. - Foto Owee Ah Chun.

5 muka baharu bukan pelengkap

KUALA LUMPUR: Suntikan lima muka baharu dalam kem latihan skuad sepak takraw negara membuktikan Malaysia tidak pernah ketandusan bakat muda dalam sukan berkenaan.

Lima pemain dimaksudkan itu terdiri daripada tiga apit kanan Azli Ahmad Zaki, Amirul Ramadhan Fazillah dan Aiman Haiqal Mohd Naim serta apit kiri sedang meningkat Amirul Zazwan Amir dan Zulhusni Basri.

Malah ketua jurulatih negara, Abdul Talib Ahmad percaya kelima-lima pemain berkenaan hanya memerlukan dua tahun saja lagi sebelum mampu menggegar pentas antarabangsa.

"Lima pemain ini menunjukkan perkembangan yang baik sejak mengikuti kem latihan negara pada awal tahun ini.

"Cuma mereka perlukan sedikit masa lagi untuk memperoleh sebanyak mungkin pendedahan di pentas antabangsa.

"Jika melihat kepada aksi mereka di peringkat tempatan memang memberangsangkan tetapi pentas antarabangsa mahupun tempatan adalah berbeza sama sekali," katanya.

Apapun, kata Talib, 58, semuanya terpulang kepada kesungguhan pemain itu sendiri dalam usaha bertarung tempat dengan pemain senior untuk ke Sukan SEA di Filipina hujung tahun ini.

"Setakat ini kita belum dapat kepastian mengenai acara yang dipertandingkan, tetapi kalau betul pemain muda ini berhasrat ke Sukan SEA mereka perlu berusaha keras."

Berdasarkan prestasi dalam latihan setakat ini, pemain Kuala Lumpur Thunder, Amirul Zazwan, 24, paling menonjol sekali gus dilihat sebagai pengganti jangka panjang kepada apit kiri nombor satu negara, Farhan Adam.

"Amirul Zazwan ini sebenarnya sudah lama berada dalam skuad negara dan saya tidak mahu meletakkan tekanan ke atasnya, kita perlu bagi ruang kepadanya untuk terus meningkatkan prestasi," kata Talib.

465 dibaca
Berita Harian X