Sabtu, 20 April 2019 | 4:36pm
PENYERANG hoki negara, Shahril Saabah.

Detik istimewa Shahril

KUALA LUMPUR: Penyerang hoki negara, Shahril Saabah mahu melupakan segera episod kecederaan hamstring yang hampir meragut kariernya menjelang aksi pembukaan kempen Final Siri FIH, Sabtu ini.

Dia sebelum ini dihantui kecederaan hamstring koyak otot sepanjang satu sentimeter pada kaki kiri sewaktu membantu Malaysian Tigers meraih tempat ketiga Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Oman, Oktober lalu.

Gara-gara kecederaan itu menyebabkan penyerang berusia 25 tahun itu terlepas peluang beraksi di Piala Dunia 2018 dan Piala Sultan Azlan Shah 2019 di samping aksi Liga Hoki Malaysia bersama kelabnya - Tenaga Nasional Berhad.

Bagaimanapun, ia akan menjadi detik istimewa buat Shahril kali ini apabila bukan saja kali pertama terpilih beraksi di bawah kendalian jurulatih Roelant Oltmans, malah menyaksikan dia julung kali akan menyarung jersi Adidas Malaysian Tigers.

"Ia tempoh paling sukar sepanjang karier saya dengan kecederaan itu adalah yang terburuk pernah dialami saya. Menurut doktor kecederaan ini jarang berlaku daripada 10 atlet mungkin satu atau dua saja yang kena.

"Kini saya agak takut-takut apabila mahu beraksi biarpun tidak lagi merasai kesakitan pada bahagian bawah pinggul kiri. Tetapi saya yakin ia tidak akan menjejaskan fokus saya di dalam padang," katanya.

Shahril muncul antara empat pemain yang kembali memperkuatkan cabaran skuad negara apabila tersenarai untuk beraksi pada kempen kelayakan Olimpik di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil itu.

Selain pakar flik berkenaan, tiga lagi pemain yang dipilih semula adalah kapten, Sukri Mutalib, Syed Syafiq Syed Cholan dan penjaga gol Hafizuddin Othman.

Sehubungan itu, Shahril yang sudah membuat 115 penampilan buat negara, berjanji akan membalas kepercayaan diberikan Oltmans dengan menetapkan sasaran untuk kembali menggegar pentas antarabangsa.

"Saya tidak menyangka terpilih, malah pada sesi latihan terakhir semalam saya hanya melihat dari jauh sekiranya Oltmans akan mendekati saya sejurus sesi latihan itu berakhir.

"Ini kerana dia menggunakan pendekatan berbeza berbanding jurulatih sebelum ini yang mana dia akan pergi menemui setiap pemain yang tidak terpilih untuk memberi motivasi sebelum memanggil semua untuk mengumumkan senarai pemain. Memang lega bila tahu terpilih," katanya.

Malaysia di ranking ke-13 dunia yang diundi dalam Kumpulan B, akan membuka saingan menentang Brazil diikuti perlawanan menentang China dua hari kemudian dan Itali pada 29 April.

620 dibaca
Berita Harian X