Sabtu, 20 April 2019 | 7:01pm
JURULATIH skuad hoki negara, Roelant Oltmans ketika sesi latihan Skuad Hoki Kebangsaan di Stadium Hoki Bukit Jalil. - Foto Zunnur Al Shafiq

'Saya hanya ada 18 tempat'

KUALA LUMPUR: "Sekiranya boleh bawa semua 28 pemain, pastinya saya akan bawa."

Demikian jawapan balas pengendali skuad hoki negara, Roelant Oltmans berhubung nasib pemain Malaysian Tigers yang tidak terpilih ke kempen Final Siri FIH yang akan membuka tirainya, Sabtu ini.

Katanya, sebagai jurulatih dia berdepan dilema sepanjang sesi latihan minggu lalu dengan prestasi meyakinkan diperagakan pemainnya, namun pada akhirnya hanya boleh membawa 18 pemain terbaik bagi menghadapi aksi kelayakan Sukan Olimpik 2020 itu.

"Kami mempunyai 28 pemain dalam skuad kali ini dengan hanya seorang saja cedera iaitu penjaga gol S Kumar.

"Jadi, bermakna 27 pemain bebas daripada kecederaan dan semua mempunyai kualiti untuk beraksi dalam kejohanan ini, tetapi pada akhirnya hanya 18 terbaik saja boleh dibawa," katanya ketika ditemui di pekarangan Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Malah, dia mengesahkan semua 10 pemain yang tidak terpilih masih berada dalam perancangannya meskipun pada baki tahun ini tidak terdapat banyak pertandingan utama.

"Selepas kejohanan ini tamat, kami mempunyai tempoh setengah tahun untuk mempersiapkan pasukan bagi menghadapi pusingan kelayakan akhir Olimpik yang dijadualkan November ini.

"Sepanjang tempoh berkenaan kami akan mengharungi jadual perlawanan yang padat termasuk Jelajah Eropah, perlawanan di Jepun dan siri pemanas badan menentang Korea sekali gus khidmat semua 28 pemain masih diperlukan," katanya.

Ia seolah-olah menepis kemungkinan untuk baki pemain yang tidak terpilih akan dilepaskan kepada skuad hoki dalam dewan negara yang dalam persiapan mempertahankan pingat emas pada Sukan SEA di Filipina hujung tahun ini.

Antara 10 pemain yang tidak terpilih kali ini termasuk empat pemain yang beraksi di Piala Sultan Azlan Shah, bulan lalu iaitu Luqman Nul Hakim Ahmad Syukran, Arif Syafie Ishak, Amirol Aideed dan penjaga gol Zaimi Mat Deris.

408 dibaca
Berita Harian X