Khamis, 25 April 2019 | 8:26pm
ALI Rustam

Masalah kecederaan gusarkan kem karate negara

 

KOTA KINABALU: Kurang 24 jam sebelum turun beraksi di Kejuaraan Karate Remaja Asia, kem karate negara menerima tamparan hebat apabila tiga atlet utama diketuai A Somanroy dilaporkan mengalami masalah kesihatan.

Ia sekali gus menjejaskan peluang ketiga-tiga atlet berkenaan untuk turun beraksi di Kompleks Sukan Likas, esok ketika Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) masih menunggu pelepasan daripada pasukan perubatan.

Bagaimanapun, Presiden MAKAF, Tan Sri Ali Rustam, berkata masalah kesihatan dialami tiga sandaran utama itu tidak mencemaskan mereka yang percaya atlet lain turut mampu menggalas cabaran negara kali ini.

"Kami sentiasa mencari atlet baharu, jadi ia bukan masalah besar sekiranya kami terpaksa melupakan khidmat tiga atlet berkenaan.

"Kejohanan ini juga dijadikan pentas buat kami mencungkil bakat baharu, dan harapan saya semoga atlet-atlet baharu ini dapat menghadiahkan pingat emas.

"Berhubung tiga atlet utama itu, kami masih menunggu keputusan daripada doktor sama ada mereka boleh beraksi atau tidak selepas mengalami demam sejurus berakhir Kejohanan SEAKF di Bangkok baru-baru ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pra Kejuaraan Karate Remaja Asia yang akan berlangsung di Kompleks Sukan Likas selama tiga hari bermula esok.

Selain Somanroy yang beraksi dalam acara kumite 84 kilogram (kg), dua lagi atlet yang status mereka masih menjadi tanda tanya adalah S Daneshkumar (-74kg) dan atlet wanita dalam pembikinan P Madhuri (50kg).

Sementara dua lagi atlet pelapis - S Pavitharan dan G Kathish turut tidak terlepas daripada mengalami masalah sama manakala A Denishroy yang juga adik kepada Somanroy disahkan tidak akan bertanding.

Kejuaraan Karate Remaja Asia edisi ke-18 itu akan menyaksikan 544 atlet dari 33 negara bertarung dengan Jepun muncul sebagai pilihan utama.

Malaysia kali ini membariskan 44 atlet yang terbahagi kepada 34 atlet kumite dengan bakinya bagi kategori kata.

Sebagai rekod, Sabah pernah menjadi tuan rumah kejohanan sama pada edisi 1994.

Berita Harian X