Jumaat, 26 April 2019 | 2:48pm
AKSI dua atlet karate pada Kejuaraan Karate Remaja Asia 2019 yang menyingkap tirainya di Kompleks Sukan Likas.

Karate Remaja Asia buka tirai

KOTA KINABALU: Atlet karate dalam pembikinan, A Somanroy mencetus khabar gembira buat kem negara apabila mendapat  'lampu hijau' untuk beraksi pada Kejuaraan Karate Remaja Asia 2019 yang menyingkap tirainya di Kompleks Sukan Likas, hari ini.

Sebelum ini, kelibat sandaran pingat emas utama negara itu masih samar selepas dilaporkan demam sejurus berakhir Kejohanan SEAKF di Bangkok, dua minggu lalu.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Nur Azmi Ahmad selepas mengesahkan kesemua lima atlet negara sudah pulih sepenuhnya daripada masalah demam.

"Daripada pengesahan yang diberikan pasukan perubatan, sandaran utama kita Somanroy sudah cergas sepenuhnya dan boleh beraksi kali ini,” kata Nur Azmi.

"Sudah tentu kepulangannya melegakan kami kerana dia antara atlet muda paling senior di sini. Malah saya berharap dia dapat menggantikan kegagalan memenangi pingat emas di SEAKF lalu dengan emas di Sabah."

Somanroy, 21, muncul antara empat atlet kumite yang diberi harapan tinggi untuk memenangi pada kejohanan yang memasuki edisi ke-18 penganjurannya itu.

Selain atlet kelahiran Seremban itu, atlet wanita P Madhuri bagi acara bawah 50kg dan S Daneshkumar (bawah 74kg) yang juga diletakkan harapan pingat turut pulih daripada masalah demam.

Menerusi kenyataan Presiden MAKAF, Tan Sri Ali Rustam semalam menyaksikan Malaysia menetapkan sasaran 6 pingat emas dalam penyertaan kali ini membabitkan 4 daripada acara kumite dan dua daripada kata.

Berita Harian X