Jumaat, 10 Mei 2019 | 8:31pm
Ayub Khan (empat dari kanan) bergambar bersama Dhaarma (empat dari kiri) selepas sesi latihan skuad negara di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, semalam. - Foto Ihsan MHC

Kerja 'gila' 25 persahabatan sebulan

 

KUALA LUMPUR: Jika ada anugerah pasukan ‘paling gila’, mungkin skuad hoki wanita negara boleh menjadi antara calon memenanginya.

Apa tidaknya, skuad Malaysian Tigress itu banyak melakukan kerja 'luar kotak fikiran' sejak mula dibimbing Dhaarma Raj Abdullah pada hujung 2015.

Terbaru, bukan saja sekali lagi berkorban menjalani latihan seawal jam 3 pagi sempena Ramadan ini, malah pasukan di ranking ke-22 dunia itu dalam misi perlu menghabiskan 25 aksi persahabatan dalam tempoh sebulan.

Ia sebagai persiapan untuk mendedahkan pemain dengan situasi perlawanan sebenar menjelang kempen Pusingan Final Siri FIH di Banbridge, Ireland Utara dari 8 hingga 16 Jun ini.

Rancangan 'gila' Dhaarma itu bagaimanapun tidak akan berjaya sekiranya tanpa bantuan skuad hoki lelaki Rajawali dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang menjadi 'rakan sparring' pasukannya.

Justeru, tempias kepenatan beraksi pada bulan Ramadan turut dirasai kedua-dua pasukan 'perajurit' itu yang sanggup turun padang berlatih dari jam 3 hingga 5 pagi semata-mata membantu skuad negara.

Menurut Pengerusi Persatuan Hoki Lelaki TUDM, Brigedier Jeneral Ayub Khan Mohamad Khan, kerjasama ini hadir tepat pada masanya ketika Rajawali juga sedang dalam persiapan menghadapi Kejohanan Antara Perkhidmatan ATM pada Jun ini.

"Secara tak langsung kami amat berbangga menjadi sebahagian daripada pasukan yang membantu persiapan skuad hoki wanita negara.

"Sekurang-kurangnya mereka mendapat tentangan sengit dengan aksi menentang pasukan lelaki kami sekali gus lebih bersedia untuk mencapai dua terbaik di Ireland Utara nanti," katanya.

Setakat ini, skuad negara sudah mengharungi 13 daripada 25 aksi persahabatan menentang kedua-dua pasukan berkenaan sejak hujung bulan lalu.

Latihan seawal pukul 3 pagi itu bagi membolehkan barisan pemain menyesuaikan diri dengan faktor perbezaan waktu di Eropah memandangkan bermula 23 Mei ini mereka akan bertolak ke Itali dan Scotland untuk beberapa aksi pemanas badan.

 

 

Berita Harian X