Ahad, 12 Mei 2019 | 4:47pm
Atlet negara, S Prem Kumar (biru). - Arkib NSTP/Fathil Asri

Rampasan kuasa tak halang MAKAF hantar atlet

KUALA LUMPUR: Sekalipun terpalit isu cubaan ‘rampasan kuasa’ dari dalam, Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) tidak ambil pusing dengan tetap menghantar enam atletnya ke Kejohanan Karate Siri A Istanbul bermula Jumaat ini.

Difahamkan, badai sedang menimpa badan induk berkenaan berikutan tindakan 12 ahli gabungan 'kem B' melancarkan undi tidak percaya terhadap kepimpinan presiden, Tan Sri Ali Rustam.

Setiausaha Agung MAKAF, Datuk Nur Azmi Ahmad, berkata walaupun berdepan pelbagai kontroversi dan tuduhan kurang enak, pihaknya tidak pernah lari daripada tanggungjawab membangunkan atlet.

"Kita memutuskan untuk menghantar enam atlet ke Istanbul dengan mereka ini akan diiringi dua pegawai. Sasaran kita untuk atlet ini sekurang-kurangnya mara ke suku akhir bagi mengutip mata ranking dunia lebih tinggi," katanya.

Antara atlet berkenaan adalah S Prem Kumar dan A Somanroy masing-masing bagi acara kumite bawah 55kg dan atas 84kg bersama dua lagi atlet muda lelaki.

Bagi wanita pula, cabaran negara bakal digalas P Madhuri (50kg) yang dianggap sebagai pengganti masa depan Syakilla Salny Jefri Krisnan dan Amelia.

Kesungguhan MAKAF itu membuktikan kepimpinan sedia ada sedaya upaya cuba memulihkan reputasi sukan itu meskipun tidak dinafikan memang ada beberapa keputusan mereka sebelum ini tidak tepat seperti pemilihan jurulatih terdahulu.

156 dibaca
Berita Harian X