Ahad, 12 Mei 2019 | 5:32pm
KETUA jurulatih hoki wanita negara, Dhaarma Raj Abdullah. - NSTP/Owee Ah Chun

Siti Zulaikha buat Dhaarma pening

 

KUALA LUMPUR: Pengendali skuad hoki wanita negara, Dhaarma Raj Abdullah berdepan dilema bagi menghadapi Pusingan Final Siri FIH di Banbridge, Ireland Jun depan disebabkan prestasi cemerlang penyerang kecil molek, Siti Zulaikha Hussin.

Zulaikha yang belum pernah dibawa ke kejohanan utama tampil mengagumkan dan konsisten sepanjang diuji dalam semua 14 aksi persahabatan sejak hujung bulan lalu.

Malah, penyerang berusia 18 tahun itu langsung tidak menunjukkan tanda gementar termasuk menggunakan kemampuan menggeleceknya untuk memporak-perandakan barisan pemain lelaki dari skuad Rajawali (TUDM) serta Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Bagaimanapun, faktok masih cetek pengalaman mungkin menyebabkan dia tidak mendapat tempat dalam senarai 20 pemain bagi dibawa ke Jelajah Eropah pada 23 Mei ini.

"Dia (Zulaikha) kini berada di prestasi terbaik, ia secara tak langsung mengundang dilema buat saya untuk menyenaraikan 20 pemain ke Itali sebelum menggugurkan lagi dua pemain dan terus ke Ireland.

"Sebenarnya minggu lalu Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) meminta saya memberikan 20 nama untuk pembelian tiket penerbangan dan nama Zulaikha antara yang tercicir.

"Tetapi masih sempat untuk saya melakukan pertukaran saat akhir dan saya hanya akan memutuskannya dalam masa terdekat," katanya.

Ketika ini seramai 23 pemain mengikuti kem latihan pusat Malaysian Tigress di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Mereka kini dalam persiapan terakhir ke Ireland dengan penekanan Dhaarma lebih tertumpu kepada mendedahkan pemain dengan situasi perlawanan sebenar menerusi aksi persahabatan diatur bertemu TUDM serta RAMD.

911 dibaca
Berita Harian X