Isnin, 13 Mei 2019 | 12:13pm
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa.

Olimpik 2024 paling sesuai guna atlet asing

KUALA LUMPUR: Sukan Olimpik Paris 2024 adalah masa paling logik untuk melihat atlet asing yang diberi taraf kerakyatan bertanding mewakili kontinjen negara pada temasya berprestij itu.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa, berkata negara tidak sempat melihat atlet asing beraksi mewakili Malaysia pada Sukan Olimpik 2020 kerana tempoh temasya itu semakin dekat.

“Mampukah dalam masa kurang daripada 15 bulan kita mencari atlet asing yang mahu bernaung atas nama Malaysia, adakah kita sanggup untuk berbelanja besar? Pendek kata ia kelihatan amat terburu-buru.

“Sekiranya benar hendak memberi taraf kerakyatan itu kepada atlet asing lebih baik diberikan kepada atlet muda yang berpotensi seperti juara remaja dunia bagi satu-satu acara sukan.

“Atlet ini kita fokuskan untuk menghadapi Sukan Olimpik 2024, itu yang dilakukan Bahrain dalam memperkuatkan skuad olahraga negaranya,” katanya.

Sadek berkata demikian sebagai mengulas laporan khas BH Sukan berhubung cadangan memberi taraf kerakyatan kepada atlet asing bagi menamatkan kemarau pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Pada masa sama, Sadek berkata andai kerajaan memberi kelulusan untuk memberi kerakyatan, Malaysia seharusnya menjadikan atlet yang datang dari negara rendah taraf ekonominya sebagai sasaran.

“Macam angkat berat, memang Turki antara jaguhnya tetapi lebih baik kita tumpukan kepada atlet dari negara Eropah Timur yang rendah taraf ekonominya kerana atlet dari negara terbabit sanggup berhijrah jika tawaran sesuai.

“Sebagai contoh Bahrain menjadikan pelari dari benua Afrika sebagai sasaran, jadi sebab itu saya melihat atlet dari negara Eropah Timur, Afrika dan Amerika Latin paling sesuai untuk diberi taraf kerakyatan,” katanya.

299 dibaca
Berita Harian X