Isnin, 13 Mei 2019 | 6:01pm
KETUA Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail. - Foto Owee Ah Chun.

Pelayaran hantar skuad maksimum ke Filipina

 

KUALA LUMPUR: Skuad pelayaran negara bakal menghantar penyertaan maksimum daripada jumlah acara dipertandingkan pada Sukan SEA 2019 di Filipina, hujung tahun ini.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, buat masa ini kontinjen negara masih belum memperoleh buku teknikal oleh tuan rumah namun sudah mengetahui gambaran acara bakal dipertandingkan.

"Sukan ini (pelayaran) adalah sukan teknikal jadi sebarang perubahan dalam buku teknikal akan memberi kesan kepada persembahan keseluruhan. Jadi kita tunggu dulu semuanya selesai (terima buku teknikal) baru boleh tentukan sasaran mahu diletakan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) MSN bersama Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) di sini, hari ini.

Pada temasya lalu, Malaysia beraksi cemerlang dan pelayaran menjadi lubuk pingat apabila memperoleh enam emas, empat perak dan empat gangsa dalam 14 acara dipertandingkan. 

Namun tuan rumah pada temasya kali ini, Filipina dikatakan bakal mengugurkan dua acara menjadi kekuatan Malaysia iaitu Laser Radial dan Optimist Berpasukan.

Ahmad Shapawi berkata, pada masa ini skuad pelayaran bakal memberi tumpuan kepada acara 470 dan juga luncur angin di Kejohanan Dunia bagi membolehkan lebih ramai pelayar negara memperoleh tiket ke Olimpik 2020 di Tokyo. 

Kejohanan Dunia 470 akan berlangsung di Enoshima pada 2-9 Ogos ini sementara Kejohanan Dunia Windsurfing RS:X akan berlangsung pada 22-28 September ini di Torbole, Itali.

Sebelum ini, Khairulnizam Mohd Afendy yang menyertai acara laser muncul atlet Malaysia pertama daripada sukan pelayaran mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 diikuti Muhammad Fauzi Kaman Shah yang bertanding acara laser 4.7.

Dalam mesyuarat hari ini juga memutuskan pelayar, Khairuneeta Mohd Afendy disenaraikan ke dalam Program Podium bagi menjadikan kini keseluruhan 28 pelayar.

"Selama ini kita tak masukkan lagi dia (Khairuneeta) kerana mahu dapatkan status kecederaan (belakang) dialami beliau dan Alhamdulillah dia didapati sudah cergas untuk kembali," katanya.

94 dibaca
Berita Harian X