Isnin, 13 Mei 2019 | 6:18pm

MAKAF nafi gagal jalan tanggungjawab

 

KUALA LUMPUR: Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) tampak kurang senang dengan tuduhan mengatakan badan induk itu sebagai gagal dalam mengendalikan program latihan dan kejohanan dengan baik buat atlet negara.

Pengurus skuad negara, V Suriya, hari ini tampil menjelaskan betapa kepimpinan sedia ada MAKAF sedang berusaha keras memulihkan reputasi sukan terbabit berikutan prestasi terumbang-ambing sepanjang tahun lalu.

"Banyak program kita sudah jalankan setakat ini, malah selepas ini pun masih banyak kejohanan dan latihan intensif kita rancangkan.

"Malah, kita juga menunjukkan pencapaian memberangsangkan dalam dua kejohanan terakhir iaitu Kejohanan SEAKF di Bangkok serta Kejuaraan Karate Remaja Asia di Kota Kinabalu, baru-baru ini," katanya.

Baru-baru ini kontroversi hangat menimpa MAKAF apabila 12 ahli gabungan melancarkan undi tidak percaya dengan mereka bercadang mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) di Ipoh pada 9 Julai depan.

Antara faktor utama dibangkitkan 'Kem B' badan induk itu ialah susulan keputusan MAKAF membenarkan ahli bukan gabungan menyertai Kejohanan Kebangsaan pada Februari lalu selain program latihan dan kejohanan tidak meyakinkan.

Gerakan ini diketuai Presiden Persekutuan Karate Goshin-Ryu Malaysia, Datuk Clement Soo yang tewas kepada Tan Sri Ali Rustam dalam perebutan kerusi presiden MAKAF pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM), tahun lalu.

Sementara itu, Presiden Persatuan Karate-Do Putrajaya, P Thiagu yang menjadi wakil jurucakap 12 ahli gabungan yang mahukan EGM, berkata mereka sudah mengikuti segala peraturan termaktub dalam perlembagaan.

"Sebagai ahli gabungan, kami mengikut perlembagaan dengan mengadakan persidangan dan kami mengambil keputusan melancarkan undi tidak percaya terhadap MAKAF," katanya.

 

 

109 dibaca
Berita Harian X