Isnin, 13 Mei 2019 | 8:41pm
SETIAUSAHA Agung PESAKA, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Hanya 2 emas sasaran PESAKA

 

KUALA LUMPUR: Biarpun memperoleh 10 pingat emas pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur, Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) sekadar meletakkan sasaran dua emas pada temasya hujung tahun ini di Filipina.

Setiausaha Agung PESAKA, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, sasaran diletakkan itu adalah munasabah berdasarkan keputusan tuan rumah mengurangkan jumlah acara dipertandingkan kepada sembilan saja.

"Kita kena faham di Kuala Lumpur, kita ada 20 acara dipertandingkan. Sekarang ini kita sudah hilang 11 acara yang tak dipertandingkan dengan empat daripada sembilan acara itu adalah silat seni dan lima silat olahraga. 

"Daripada lima silat olahraga itu pula tak ada kelas biasa disertai Mohd Al Jufferi (Jamari) dan Siti Rahmah (Nasir) serta beberapa pemain lain ... Saya yakin kita boleh capai, mudah-mudahan lebih daripada itu kerana saya yakin terhadap pesilat kita," katanya selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) PESAKA bersama Majlis Sukan Negara (MSN), di sini, hari ini.

Temasya di Filipina kali ini menyenaraikan lima acara silat olahraga dengan tiga daripadanya adalah Kelas Putra A, C dan D serta kategori Putri hanya mempunyai dua acara iaitu Kelas A dan B. 

Dalam kategori silat seni pula, pasukan tuan rumah sekadar menyenaraikan empat acara - Jurus Tunggal Putra, Ganda Putra, Tunggal Putri dan Regu Putra.

Megat berkata, satu pemilihan pesilat yang akan mewakili skuad kebangsaan bakal diadakan pada minggu depan atau selambat-lambatnya seminggu sebelum Aidilfitri.

Beliau berkata, pemilihan itu perlu dilakukan kerana mahu mencari pesilat yang layak bagi persediaan beberapa kejohanan utama tahun ini termasuklah Kejohanan Silat Asia pada 18-23 Disember ini di Chengdu, China yang akan diadakan selepas Sukan SEA.

Ketika ini tiga pesilat utama negara - Jufferi, Siti Rahmah dan Siti Shazwana Ajak mengalami kecederaan serius, namun Megat yakin pesilat seperti Juferi akan mencabar juara kebangsaan bagi merebut tempat masing-masing ke dalam skuad kebangsaan.

"Kita sudah umumkan kepada juara kebangsaan kalau mereka tak boleh lawan, kita tak ada pilihan kena gugurkan. Semua juara kebangsaan ini sudah bersedia (menerima tentangan)," katanya.

85 dibaca
Berita Harian X