Isnin, 20 Mei 2019 | 8:22am
NUR Dhabitah Sabri

Nur Dhabitah menang gangsa di London

KUALA LUMPUR: Penerjun wanita negara, Nur Dhabitah Sabri memberi khabar gembira kepada skuad terjun negara apabila merangkul pingat gangsa acara 3 meter papan anjal di hari terakhir Siri Dunia Terjun FINA yang berlangsung pada awal pagi ini di London.

Penerjun berumur 19 tahun itu bermula agak hambar pada terjunan pertama final apabila sekadar memungut 63 mata untuk di tempat keenam namun bangkit pada terjunan seterusnya apabila mendahului enam penerjun lain apabila melakukan terjunan dengan darjah kesukaran 3.1 bagi memperoleh 74.40 mata.

Dhabitah yang turut menduduki tempat ketiga di peringkat separuh akhir akhirnya mengumpul 344.40 mata untuk menghadiahkan pingat gangsa buat negara pada siri terakhir kejohanan pada tahun ini yang juga menjadi pingat pertama negara pada penyertaan Siri Terjun Dunia 2019.

Penerjun Australia, Madison Keeney membawa pulang pingat emas dengan mengumpul 368.30 mata diikuti penerjun Kanada, Jennifer Abel membawa pulang perak dengan 353.05 mata.

"Syukur Alhamdulilah. pingat gangsa dalam 3m individu. Saya tak sangka saya boleh memperoleh pingat dalam acara individu dan bertanding dengan penerjun hebat daripada seluruh dunia.

"Saya takkan boleh melakukan semua ini tanpa sokongan daripada keluarga, rakan pasukan dan juga orang yang sering menyokong saya di tanahair," katanya dalam laman sosial Instagram miliknya di sini hari ini.

Dhabitah berkata beliau juga berbangga dengan gandingannya dalam acara 3m papan anjal seirama campuran, Muhammad Syafiq Puteh dan juga Wendy Ng (3m papan anjal seirama wanita) yang bertarung dengannya sehingga ke penamat.

Gandingan Dhabitah-Syafiq dalam acara 3m papan anjal seirama campuran yang turut berlangsung awal pagi tadi menyaksikan gandingan itu berpuas hati di tempat kelima dengan mengumpul 302.43 mata.

Gandingannya dengan Wendy pada hari pertama kejohanan, Sabtu lalu menyaksikan mereka berada di tempat keenam dengan 285 mata.

Berita Harian X