Isnin, 27 Mei 2019 | 9:08pm
MOHD Poad Md Kassim (kiri) dan Datuk Karim Ibrahim. - Foto NSTP

Karim bidas Poad isu pertahan pingat emas

KUALA LUMPUR: Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim membidas Mohd Poad Md Kassim kerana tidak yakin kontinjen negara mampu mempertahankan pingat emas acara 100 meter pada temasya Sukan SEA Filipina hujung tahun ini.

Katanya, kenyataan terbabit tidak sewajarnya dikeluarkan oleh jurulatih olahraga berkenaan kerana ia boleh melemahkan semangat atlet dibawah kendaliannya.

“Poad menyerah kalah sebelum bertanding dan berkata tidak dapat mempertahankan pingat untuk acara pecut 100m. Itu tak baik kerana menjatuhkan semangat atlet di bawah kendaliannya.

“Mungkin benda itu betul tapi tak berapa bagus. Sebagai jurulatih mereka ada etika. Jangan mengaku kalah, lawan habis-habislah. Belum tahu boleh menang atau tidak," katanya selepas

mesyuarat jawatankuasa kerja Bil 2/2019 untuk Sukan Olahraga di Majlis Sukan Negara (MSN), dekat sini, hari ini.

Sebelum ini media tempatan melaporkan Poad menyifatkan sukar buat Khairul Hafiz Jantan mempertahankan gelaran raja pecut Asia Tenggara, apatah lagi selepas kemunculan juara remaja dunia dari Indonesia, Lalu Muhammad Zohri.

Sebagai rekod, Khairul Hafiz adalah pemenang pingat emas acara pecut 100m di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dengan catatan masa 10.38 saat, mengatasi pemenang emas Singapura 2015 dari Filipina, Eric Cray (10.43s).

Lalu pula mencatatkan 10.03s dalam saingan Seiko Golden Grand Prix 2019 di Osaka, Jepun baru-baru ini.

Berita Harian X