Isnin, 27 Mei 2019 | 9:58pm
SMK Za’ba dipilih laksana pembangunan bola sepak NS.

SMK Za'ba dipilih laksana pembangunan bola sepak NS

SEREMBAN: Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) mengambil langkah untuk menganakangkatkan Sekolah Sukan Negeri (SSN) iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Za'ba, Kuala Pilah selaras dengan peraturan pelesenan Kelab Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan juga Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Naib Presiden PBNS, Mohamad Taufek Abd Ghani berkata pemilihan pasukan bola sepak SMK Za'ba, Kuala Pilah yang juga satu-satunya sekolah sukan di negeri ini adalah berdasarkan pasukan itu berada di Liga Super Kementerian Pendidikan (KPM) bagi musim 2019 dan menunjukkan prestasi yang memberangsangkan setiap tahun.

"Menerusi kerjasama ini kita harap dapat mencungkil bakat baharu di peringkat sekolah dan seterusnya merealisasikan usaha pembangunan bola sepak di negeri ini. Ini adalah salah satu usaha PBNS untuk terus menggilap bakat anak muda terutamanya pelajar sekolah untuk menjadi pemain bola sepak profesional suatu hari nanti.

“Pembangunan di peringkat akar umbi perlu diperbanyakkan dan ditambah baik dengan kemudahan pusat latihan dan juga padang sekolah dan ini sekali gus akan dapat meningkatkan lagi mutu dan reputasi bola sepak terutamanya di SMK Za'ba," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Mohamad Taufek yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri berkata PBNS dan SMK Za'ba, Kuala Pilah telah menandatangani Surat Akujanji Jumaat lalu yang mana ia ditandatangani di antara beliau dengan Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Pkharuddin Ghazali serta disaksikan oleh Presiden PBNS, Tunku Besar Tampin Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri.

Katanya, Surat Akujanji itu akan meletakkan SMK Za'ba, Kuala Pilah sebagai salah satu sekolah projek bola sepak di bawah pengawasan PBNS.

"Perjanjian (Surat Akujanji) ini juga merupakan komitmen PBNS dalam membentuk satu jalinan kerjasama di antara dua pihak bagi membangunkan bola sepak di Negeri Sembilan. PBNS telah bersetuju memperuntukkan sebanyak RM43,855 untuk perbelanjaan pengurusan pertandingan pasukan bawah 17 tahun sahaja dan berharap pasukan SMK Za’ba dapat menggunakan peruntukan yang disalurkan itu sebaik-baiknya," katanya.

Mohamad Taufek berkata dengan kerjasama daripada syarikat penaja pakaian PBNS iaitu Rhino, telah bersetuju untuk menaja jersi pasukan bawah 14 tahun dan bawah 17 tahun dalam saingan Liga KPM 2019.

Selain itu, katanya pihak Rhino juga berbesar hati untuk memberikan baju latihan bagi pasukan SMK Za’ba bagi setiap peringkat umur iaitu dari Tingkatan 1 sehingga Tingkatan 5. - BERNAMA

Berita Harian X